KUANTAN: Lebih 500 penduduk di Taman Berjaya Permai di sini gusar memikirkan parit di hadapan perumahan terbabit yang semakin lebar dan dibimbangi boleh mengancam keselamatan mereka.
Difahamkan parit terbabit bersebelahan laluan utama Kempadang dan Pantai Sepat dengan keadaan bahu jalan di situ makin terhakis berikutan masalah itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk, Mohd. Hasmadi Zakaria, 46, berkata, masalah terbabit sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu.
Menetap di perumahan itu sejak 12 tahun lalu, katanya, susulan aduan yang dibuat, pihak berkuasa sudah memasang kanvas sebagai langkah pencegahan sementara.
“Namun ia sudah enam bulan berlalu dan sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan susulan.
“Sebagai penduduk, kami mengharapkan agar parit terbabit dibaik pulih secara kekal kerana bimbang ia akan menjadi bertambah buruk,” katanya di sini semalam.
Mohd. Hasmadi berkata, parit yang semakin melebar dan hakisan tanah sehingga ke bahu jalan berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana ia laluan utama menuju ke Pantai Sepat dan Pekan.
“Kesan hakisan itu juga menyebabkan kerosakan kepada peralatan utiliti seperti paip utama bekalan air mentah. Malah bekalan air ke Pusat Persatuan Penduduk Zon A juga sudah terputus sejak setahun lalu.
“Masalah ini juga sekali gus mendatangkan kerosakan kepada sistem perparitan longkang akibat air hujan yang laju terutama ketika musim tengkujuh,” katanya.
Tambahnya, parit yang semakin melebar itu boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak yang datang bermain dan memancing di situ tambahan pula tiada penghadang diletakkan di lokasi terbabit.
“Bukan itu sahaja, pernah berlaku kejadian sebuah kereta terbabas dan masuk ke dalam parit berhampiran. Ia mungkin berlaku kerana air yang melimpah keluar daripada parit selain kawasan itu berselekoh dan tiada bahu jalan yang sempurna kerana hakisan,” katanya.
Beliau selaku ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Taman Berjaya Permain (Zon A) berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk membaik pulih kawasan tersebut secara kekal.
“Ini termasuk membaik pulih tebing parit dan longkang konkrit yang sudah pecah akibat air mengalir laju semasa hujan,” katanya.-UTUSAN