Penduduk Felda Bukit Cherakah bantah pemindahan laluan utama - Utusan Malaysia

Penduduk Felda Bukit Cherakah bantah pemindahan laluan utama

Bukit Cherakah
KIRA-KIRA 100 wakil penduduk berhimpun secara aman dekat Jalan 1 bagi menyatakan bantahan terhadap pemindahan laluan utama masuk ke Kampung Felda Bukit Cherakah di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tapak laluan curam dan membahayakan pengguna jalan raya menjadi faktor lebih 7,000 penduduk di Kampung Felda Bukit Cherakah di sini membantah pemindahan jalan masuk utama ke penempatan itu.

Lebih malang, penduduk di sana tidak dilibat atau dimaklumkan secara rasmi berkenaan perubahan tersebut walaupun sudah lebih 40 tahun menggunakan Jalan 1 sebagai laluan masuk utama.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua kampung berkenaan, Faizal Rahman, 39, berkata, hal tersebut diketahui penduduk melalui pekerja yang membuat kerja mengukur dekat kawasan dipercayai menjadi laluan baharu.

Menurutnya, amat mengecewakan apabila laluan baharu dipercayai akan dibina bertentangan dengan Pusat Koreksional Puncak Alam, Jabatan Penjara Malaysia berhampiran kawasan selekoh berbukit.

“Terlalu bahaya kerana persimpangan tersebut terletak di kaki bukit jalan yang curam (dari arah Puncak Alam) dan selekoh berbukit (dari arah Meru), sedangkan kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan.

“Kami tidak tahu apa alasan dan penjelasan mereka hendak menutup jalan tersebut. Kalau ada pembangunan sekali pun, bukan kami menolak, tetapi biarlah jalan tersebut kekal sebab memudahkan penduduk untuk keluar masuk dari Jalan Utama (Meru-Puncak Alam),” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, kira-kira 100 orang berhimpun secara aman dekat Jalan 1 kampung tersebut bagi menyatakan bantahan terhadap pemindahan laluan masuk sebelum menyerahkan memorandum dan petisyen yang ditandatangani 460 penduduk kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Maskor Tumiran.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia dekat lokasi dipercayai akan menjadi laluan baharu berkenaan mendapati persimpangan masuk Pusat Koreksional terletak di tengah-tengah laluan curam dan berselekoh.

Keadaan sedemikian membahayakan pengguna kenderaan lebih kecil apabila jalan utama itu kerap kali menjadi laluan kenderaan berat yang menghala dari Puncak Alam ke Meru.

Malah, jarak pemandangan terhad dari arah Meru apabila keadaan laluan yang mendaki dan berselekoh kira-kira 100 meter sebelum sampai ke persimpangan di Pusat Koreksional.

Bukit Cherakah
FAIZAL Rahman berucap dalam perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap pemindahan laluan utama masuk ke Kampung Felda Bukit Cherakah di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. – UTUSAN / AMIN AZMAN

Dalam pada itu, Faizal menjelaskan, pemindahan laluan utama juga dibimbangi menjejaskan perniagaan empat buah premis termasuk sebuah kedai runcit, warung dan bengkel kereta.

“Sebelum ini terdapat deretan warung di Jalan 1 bersebelahan dengan jalan utama, namun ia sudah dirobohkan, perbincangan dengan pihak berkuasa ketika itu memaklumkan tapak dikosongkan bagi kegunaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Ketika itu, tak dimaklumkan berkenaan pemindahan laluan utama. Kalau betul pemindahan itu akan dilakukan, ia akan menyebabkan kedai-kedai milik penduduk di kawasan tersebut tidak lagi boleh diakses,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau bersama penduduk kampung akan mengemukakan memorandum bantahan kepada Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada minggu hadapan bagi menghalang pemindahan laluan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya