Penduduk bantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G - Utusan Malaysia

Penduduk bantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G

SEKUMPULAN penduduk di Bukit Gelugor, Pulau Pinang berhimpun bagi membantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G berhampiran surau kawasan perumahan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penduduk di Bukit Gelugor di sini membantah pembinaan pemancar tele­komunikasi 5G berhampiran surau kawasan perumahan mereka kerana bimbang dengan isu keselamatan dan kesihatan masyarakat setempat.

Wakil penduduk, Hamdullah Mohammed Farouk berkata, mereka kecewa kerana pembinaan pemancar di pekarangan Surau Bukit Gelugor itu tidak dimaklumkan kepada penduduk.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi kelulusan untuk pembinaan di perkara­ngan Surau Bukit Gelugor dan penduduk tidak diberikan sebarang notis mengenai perkara ini.

“Kami terkejut kerana ia dibuat tanpa perbinca­ngan terlebih dahulu dengan masyarakat,” katanya di sini semalam.

Katanya, berdasarkan kajian secara global, tiada jaminan 100 peratus dari segi keselamatan dan kesihatan jika seseorang itu terdedah kepada bahaya pemancar telekomunikasi.

‘’Semakin banyak bukti me­nunjukkan mereka yang berada dalam radius 500 meter dari pemancar telekomunikasi berkemungkinan mengalami kesan kesihatan jangka panjang.

“Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa juga menganggap gelombang frekuensi radio (RF) secara umum sebagai berpotensi karsinogenik,” katanya.

Tambahnya, penduduk meng­alu-alukan pembangunan dan kemajuan, namun mereka tidak dapat lari daripada kenya­taan terdapat kemungkinan bahaya yang boleh dibawa oleh infrastruktur menara pemancar itu kepada masyarakat.

Katanya, penduduk telah menghantar surat kepada PBT termasuk Pejabat Ketua Menteri; Pejabat Datuk Bandar dan sebagainya untuk menyatakan bantahan isu tersebut.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab yang berkhidmat kepada rakyat, kami memohon kelulusan membina pemancar telekomunikasi di tengah-tengah kawasan perumahan kami dipertimbangkan semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN