Pendakwah bertauliah di Selangor usah terlibat politik kepartian - MAIS - Utusan Malaysia

Pendakwah bertauliah di Selangor usah terlibat politik kepartian – MAIS

Pendakwah
ABDUL Aziz Mohd. Yusof merasmikan Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua pemegang tauliah mengajar Islam atau pendakwah di Selangor diingatkan tidak mencampuri isu agama dengan politik kepartian dan mendatangkan penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan, peringatan itu selaras titah Sultan Selangor pada 18 Februari 2022 yang tidak memperkenankan tauliah mengajar diberikan kepada aktivis politik.

“Larangan itu dibuat bagi menghalang pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik bagi mengelak berlaku penyebaran propaganda politik berunsur fitnah dan kebencian yang menjadi punca perselisihan atau perpecahan umat Islam.

“Semua pemegang tauliah di negeri ini perlu sentiasa mematuhi undang-undang atau arahan, larangan dan perintah yang diberikan pihak berkuasa agama,” katanya selepas merasmikan Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menambah, tauliah mengajar bukan sahaja memenuhi kehendak undang-undang namun memastikan individu yang mengajar dan kandungannya menepati pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah seperti termaktub dalam Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

“Pendakwah bertanggungjawab memelihara perilaku daripada terlibat dengan perkara yang boleh mencemarkan imej Islam sehingga menjadi bahan tontonan di media. Mereka juga perlu merujuk kitab yang diluluskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan mengajar berdasarkan pegangan ahli sunnah wal jamaah.

“Setiap pendakwah perlu memahami realiti kehidupan masyarakat dalam merancang program terutama memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar perkara berkaitan fardu ain,” jelasnya.

Katanya lagi, seramai 5,682 pendakwah bertauliah direkodkan di Selangor sehingga 30 September lalu dan diharap dapat memperluaskan lagi sebaran Islam sekaligus memudahkan urusan masjid dan surau untuk memilih penceramah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya