MELAKA: Tindakan seorang pemilik bas kilang memalsukan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan menyunting dan mencetak sendiri dokumen itu membawa padah, apabila kenderaan pekerja tersebut disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pemeriksaan mengejut di kawasan perindustrian sekitar Batu Berendam dan Ayer Keroh di sini berjaya mengesan bas yang menggunakan LKM palsu itu, sejak 17 bulan lalu.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya percaya modus operandi sedemikian tidak melibatkan kegiatan sindiket, sebaliknya hanya dilakukan pemilik bas terlibat.
“Bas itu disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Hasil siasatan lanjut, bas berkapasiti 40 penumpang itu telah tamat LKM sejak 5 Mei 2022, namun pemilik telah mencetak dokumen baharu dengan mengubah tarikh kepada 3 November 2023.
“Kesalahan seperti ini adalah pertama kali dikesan berlaku di Melaka, namun kita yakin ini kes ini hanya melibatkan individu kerana kualiti LKM dicetak adalah rendah dan sukar dikaitkan dengan sindiket,” katanya dalam sidang akbar di Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil di sini, hari ini.
Tambah Muhammad Firdaus, Op Kenderaan Perdagangan Awam dilaksanakan berjaya mengesan sebanyak 111 kesalahan dilakukan pemilik bas dan van kilang.
Ujarnya, sebanyak 65 kenderaan diperiksa dan 21 daripadanya dikenakan kompaun.
“Kompaun telah dikeluarkan mengikut Seksyen 224 dan Seksyen 79 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD). Antara kesalahan melibatkan tata kelakuan pemandu, langgar syarat permit dan kesalahan teknikal termasuk tidak mempunyai pemadam api serta lampu brek tidak berfungsi,” ujarnya. – UTUSAN