PETALING JAYA: Enam gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Bumiputera memohon penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Menurut kenyataan pemegang taruh dalam industri Vape Malaysia, pihaknya terkilan kerana tiada penerangan dan perbincangan secara terperinci dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pemain industri sebelum RUU itu dibentangkan.
“Tindakan KMM dalam membentuk RUU Kawalan Produk Merokok itu dilakukan secara berat sebelah dan tidak wajar kerana kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan Rang Undang-Undang itu yang bakal dibentangkan,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman KKM pada 5 Oktober lepas yang mana RUU itu akan dibentang bagi bacaan kedua hari ini di Parlimen.
Justeru, gabungan pemegang taruh itu memohon agar pembentangan RUU berkenaan bagi bacaan kedua ditangguhkan dahulu.
Gabungan NGO itu juga mewakili lebih 50,000 usahawan iaitu Malaysia E-Vaporizers & Tobacco Alternative, Association (MEVTA) dan Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Malaysia e-Liquid Brewers Association (MEBA), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).
Pada masa sama, gabungan ngo tersebut menyatakan mereka akan sentiasa menyokong kerajaan dalam usaha memacu ekonomi negara. – UTUSAN










