PETALING JAYA: Pekerja-pekerja industri ekonomi gig yang terdiri daripada pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing meminta kerajaan melalui Belanjawan 2024 menyediakan 16 inisiatif dengan anggaran keseluruhan peruntukan sebanyak RM650 juta kepada industri tersebut.
Inisiatif-inisiatif tersebut merangkumi dari aspek kewangan, kemudahan sebagai pekerja dalam idustri ekonomi gig, pendidikan, perumahan dan juga kenderaan.
Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, dalam keadaan ekonomi semasa dan ditambah dengan kadar tambang yang agak rendah, keseluruhan daripada mereka memerlukan inisiatif dan bantuan daripada kerajaan.
“Apa yang kami mohon ni sebenarnya adalah untuk mengimbangi balik dengan kadar penawaran harga di pasaran mengenai perkhidmatan e-hailing dan p-hailing ini. Ia serba sedikit akan mengurangkan komuniti kami.
“Dengan bantuan-bantuan daripada subsidi ini, ia akan membantu dalam memperkukuhkan perkhidmatan dan industri kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengarahkan barisan Jemaah Menteri mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 itu mengikut kapasiti masing-masing untuk mengetahui apa yang diperlukan di peringkat kementerian bagi pembangunan negara selain untuk menambah baik bantuan kepada rakyat.
Sehubungan itu, sesi libat urus bagi mengumpul maklum balas atau input berhubung Belanjawan 2024 kini dilihat sudah memasuki fasa terakhir sebelum ia dibentangkan di Parlimen, 13 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Jose berkata, insiaitif-insiiatif yang diminta oleh mereka sudah pun dibawa ke dalam sesi libat urus yang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia.
“Kami sudah buat dengan dua kementerian tersebut, dan dalam tu ada sektor-sektor lain seperti bas dan teksi. Mereka juga menyambut baik apa kami bentang dalam perbincangan tersebut.
Senarai cadangan inisiatif daripada pekerja industri ekonomi gig:
1. Inisiatif Subsidi Caruman SKSPS PERKESO;
2. nisiatif Bantuan Skim Insurans Pekerjaan (SIP GIG):
3. Inisiatif Bantuan Skim i-Saraan KWSP;
4. Inisiatif Bantuan Bantuan Pinjaman Pemiagaan;
5. Inisiatif Bantuan Latihan dan Peningkatan Kemahiran;
6. Inisiatif Bantuan Subsidi Pembaharuan Lesen Memandu, Vokasional PSV, GDL;
7. Inisiatif Bantuan Subsidi pembaharuan Insurans dan cukai jalan;
8. Inisiatif Bantuan Pinjaman Penyelenggaraan Kenderaan
9. Inisiatif Bantuan Subsidi Kad Petrol;
10. Inisiatif Bantuan Subsidi Telefon Bimbit dan Pelan Internet;
11. Inisiatif Bantuan Subsidi Menyambung Pelajaran ke Pengajian Tinggi;
12. Inisiatif Bantuan Subsidi Skim Rumah Pertama;
13. Inisiatif Bantuan Subsidi untuk Pembelian/Penyewaan kenderaan nasional atau kenderaan elektrik (EV) kepada Koperasi
14. Inisiatif geran pengurusan untuk pertubuhan/persatuan ehailing, phailing atau GIG
15. Inisiatif peruntukan untuk meringankan kos sara hidup
16. Inisiatif untuk pusat transit di bandar-bandar utama kepada golongan gig yang bergiat merentasi sempadan negeri- UTUSAN










