KUALA LUMPUR: Pengasas bersama dan pemegang saham terbesar MYAirlines, Datuk Allan Goh Hwan Hua dan empat lagi syarikatnya disaman oleh 15 orang pelabur berhubung Nilai Penebusan Bulanan dan Pulangan Pembiayaan Bulanan yang tertunggak melebihi RM8 juta.
Saman yang difailkan pada 21 Julai 2022 menamakan Hwan Hua, syarikat pembangunan laman sesawang dan aplikasi, I-Serve Online Mall Sdn. Bhd. (ISOM) dan Bright Moon Venture PLT (BMV bertanggungjawab untuk mengumpul pelaburan bagi ISOM dan Hwan Hua) sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Turut dinamakan sebagai defendan keempat dan kelima ialah QA Smart Partnership PLT (QAS bertanggungjawab untuk mengumpul pelaburan bagi ISOM dan Hwan Hua) dan Trillion Cove Holdings Berhad (TCH merupakan syarikat pinjaman wang dan penyampaian kewangan).
THC juga merupakan pemberi sokongan kewangan kepada MYAirlines dan mempunyai pegangan saham sebanyak 10 peratus dalam syarikat penerbangan itu.
Semakan di mahkamah mendapati, Hwan Hua telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pelabur-pelabur terbabit. Kes akan didengar pada 22 November ini di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.
Pada 18 Oktober lalu, pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn. Bhd. serta isteri dan anak lelakinya direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, kesemua pelabur itu menyatakan mereka telah menandatangani Perjanjian Langganan (SA) dan Perjanjian Pembiayaan Rakan Kongsi (PFA) dengan kesemua syarikat terbabit sekitar 2020 dan 2021.
Kesemua pelabur menyatakan terdapat perjanjian bahawa Nilai Penebusan Bulanan dan jumlah Pulangan Pembiayaan akan dibayar kepada pelabur secara bulanan.
Bagaimanapun, bermula November 2021 hingga Jun 2022, syarikat-syarikat terbabit gagal membuat pembayaran jumlah Nilai Penebusan Bulanan dan Pulangan Pembiayaan Bulanan.
Kesemua pelabur itu selaku plaintif menyatakan pada sepanjang masa material, TCH, BMV dan QAS merupakan ejen kepada ISOM dan Hwan Hua.
Kesemua syarikat itu juga secara kolektif berfungsi sebagai satu unit ekonomi tunggal yang mana kesemua dana yang dikumpulkan oleh TCH, BMV, QAS dan instrumen mengumpul dana yang lain semuanya dilaburkan dalam ISOM.
Selain itu Hwan Hua yang merupakan pemegang saham dalam ISOM serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah TCH adalah satu-satunya minda yang mengawal syariiat-syarikat itu.
Pada 1 September lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan medianya memaklumkan ISOM dikenakan kompaun sebanyak RM50 juta kerana menerima deposit tanpa lesen.
Bank pusat itu berkata ia mengenakan kompaun untuk tujuh entiti di bawah Kumpulan i-Serve mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) dan untuk pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) AMLA.
Tujuh entiti itu ialah i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. (RM12.5 juta), i-Serve Technology and Vacations Sdn. Bhd. (RM12.5 juta), QA Smart Partnership PLT, QA Elite Partnership PLT, QA Premium Partnership PLT dan MM2217 PLT dan Valuewise PLT (RM5 juta setiap satu). – UTUSAN