PETALING JAYA: Kakitangan syarikat I-Serve yang direman polis dipercayai merekrut individu-individu bagi melabur dalam pelaburan tersebut.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek yang bekerja dengan pengasas syarikat penerbangan MyAirline bergelar Datuk.
“Mereka dipercayai menguruskan dokumen, kewangan dan wang pelaburan selain merekrut pelabur dan telah bekerja di syarikat terbabit sejak ia ditubuhkan.
““Malah turut terbabit dalam hal berkaitan syarikat penerbangan MYAirline,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
“Setakat ini kita sedang mengambil keterangan semua suspek dan tiada sebarang dokumen atau rampasan dibuat,” katanya.
Kelmarin, Ramli dilaporkan berkata, suspek wanita berusia 30 tahun direman empat hari, manakala seorang lagi wanita berusia 33 tahun direman tiga hari.
Beliau dilaporkan berkata, reman ke atas suspek lelaki berusia 48 tahun juga dibenarkan selama tiga hari, dan reman suspek keempat, lelaki berusia 62 tahun yang juga peguam di i-Serve dibenarkan selama satu hari.
“Sementara itu, tempoh reman ke atas suspek keempat yang ditahan pada 23 Oktober disambung empat hari lagi, selepas tempoh reman lima hari tamat
hari ini (semalam),” katanya.-UTUSAN











