KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti dalang utama yang menyebabkan 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Peru untuk terlibat dengan sindiket Macau Scam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan merakam keterangan kesemua mangsa yang terlibat untuk mengesan pihak yang merekrut kesemua mangsa berkenaan ke Peru.
Katanya, buat masa ini pihaknya dimaklumkan mangsa berlepas ke Peru pada 29 September lalu melalui jalan yang sah.
“Seramai 43 individu tersebut terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki. Bagaimanapun, kita akan mendapatkan butiran terperinci daripada Wisma Putra.
“Siasatan akan dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman.
“Kesemua mangsa akan ditemu bual bagi membantu siasatan polis bagi mengenal pasti mediator, siapa yang rekrut atau bagaimana mereka dibawa,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, kes tersebut merupakan kejadian pertama yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia dibawa ke Peru oleh sindiket penipuan.
Katanya, sebelum ini kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia dilarikan ke Laos, Kemboja, Myanmar dan Filipina.
Berikutan itu, beliau berkata, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi mengesan sindiket dan mengekang jenayah itu berleluasa.
Jelasnya, biarpun banyak maklumat berkaitan kes penipuan pekerjaan dihebahkan pihaknya termasuk dalam media sosial, namun, masih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.
Semalam, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di Lima, pada Sabtu lalu.
Serbuan itu dijalankan Polis Peru di rumah di La Molina, di mana kesemua mangsa warganegara Malaysia terbabit sudah dikenalpasti dan diselamatkan.-UTUSAN