KUCHING: Pertambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak adalah satu kepentingan bagi menjaga hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya mendesak agar pertambahan itu disegerakan sekurang-kurangnya 33 peratus daripada kini yang hanya 26 peratus sahaja.
“Dalam tahun 1963, jumlah kerusi yang dipegang oleh Sabah, Sarawak dan Singapura adalah lebih kurang 33 peratus daripada keseluruhan jumlah yang terdapat pada masa itu.
“Justeru, ini adalah satu daripada tuntutan kita dalam perbincangan bersama kerajaan Pusat untuk ditambahkan jumlah kerusi Parlimen kerana apabila kita menubuhkan Malaysia pada tahun 1963,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim turut menegaskan kepentingan ini adalah bagi mendapatkan dua pertiga keputusan untuk meminda Perlembagaan Malaysia dalam Parlimen.
“Ini juga penting kerana selain kepentingan hak Sabah dan Sarawak, sekiranya pemindaan berkaitan artikel dalam Perlembagaan Malaysia ia memerlukan dua pertiga sokongan.
“Tetapi, apabila Singapura keluar daripada Malaysia, jumlah kerusi yang dipegang oleh Singapura, kalau tak silap saya, 15 kerusi. Semuanya diambil oleh Semenanjung. Jadi, jumlah dalam Parlimen, kuota untuk Sabah dan Sarawak yang tinggal kurang daripada 30 peratus.
“Kerana kalau kita hendak meminda Perlembagaan Malaysia, banyak artikel atau fasa yang memerlukan dua pertiga, jadi, sekiranya Semenanjung mempunyai lebih daripada dua pertiga dalam Parlimen, berkemungkinan mereka boleh menggugat hak Sarawak,” dedah Abdul Karim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan pembukaan premis pengubahsuaian Habib di pusat membeli belah The Spring di sini hari ini.
Baru-baru ini Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari mendedahkan satu jawatan kuasa khas ditubuhkan oleh PBB bagi meneliti cadangan penambahan kawasan Parlimen baharu di negeri berkenaan selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambah Abang Johari, jawatan kuasa tersebut akan bertindak untuk mendapatkan permohonan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Satu jawatan kuasa di peringkat Parti PBB untuk permohonan memandangkan keputusan akhirnya dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita memohon supaya dipertimbangkan pertambahan kawasan Parlimen baharu selaras MA63.”
“Dalam Laporan Antara Kerajaan (IGC) memang tidak disebut dua pertiga, tetapi disebut suara Sarawak dan Sabah mesti diambil kira di dalam Parlimen. Malah, pengenalan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, pun ada,” ujarnya.
Sarawak ketika ini mempunyai 31 kerusi Parlimen dan pembentukan kawasan baharu itu perlu dalam memastikan pengagihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak agar Semenanjung tidak dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti termaktub dalam MA63. -UTUSAN