'Pas perlu terajui PN Melaka jika ingin menang PRN'

‘Pas perlu terajui PN Melaka jika ingin menang PRN’

MOHD. RAJAB AKMAL ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas perlu menerajui Perikatan Nasional (PN) Melaka jika gabungan itu ingin memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, seperti mana yang berlaku di beberapa buah negeri dikuasai parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda Pas Kawasan Tangga Batu, Mohd. Rajab Akmal Abdul Halim berkata, perkara itu wajar memandangkan gelombang rakyat kini lebih menerima Pas dan dibuktikan melalui kemenangan di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap Pas di luar Pantai Timur pula semakin memuncak sehingga hampir menawan Selangor, Perak dan Pahang.

“Pas tidak menidakkan keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun untuk kita menang di negeri dan Pusat perlu ada parti dominan.

“Kita lihat Pas mempunyai ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen berbanding parti lain dalam PN. Saya cukup yakin jika Pas diberi peluang menerajui PN di Melaka, peluang untuk parti menang dalam PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah lebih cerah,” katanya ketika ditemui.

Ditanya adakah hasrat itu disuarakan berikutan persengketaan antara Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka yang juga Pengerusi PN negeri, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dengan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof, Mohd. Rajab Akmal berkata, ia adalah ‘asam garam’ dalaman parti.

Katanya, masalah itu boleh diselesaikan di meja rundingan agar tidak berlarutan hingga menjejaskan persiapan menghadapi PRN.

“Ini adalah cadangan Pas Melaka, namun ia perlu mendapat restu daripada pucuk pimpinan Pas Pusat dan parti gabungan dalam PN sendiri.

“Jika PN memberi peluang Pas untuk memimpin Melaka, saya yakin pimpinan Pas Melaka mampu dan telah bersedia bagi memastikan kemenangan pada PRN nanti. Sokongan rakyat terhadap Pas di Melaka semakin memuncak apabila memenangi Parlimen Jasin dan Tangga Batu pada PRU15,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN