PARLIMEN: Tiada halangan syarikat asing jadi pemaju perumahan di Malaysia  - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Tiada halangan syarikat asing jadi pemaju perumahan di Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan undang-undang dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) tidak menghalang syarikat asing menjadi pemaju perumahan di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir bagaimanapun berkata, syarikat yang mahu menjalankan perniagaan pembinaan rumah di negara ini mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu katanya, syarikat asing juga mesti mempunyai modal berbayar tidak kurang RM250,000 seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 6(1) akta sama.

“Memang tidak ada peruntukan menghalang mana-mana syarikat asing menjadi pemaju perumahan dan sekiranya ada mana-mana pemaju tidak mematuhi peruntukan Akta 118, perkara inilah yang patut kita tengok dari segi tindakan yang boleh diambil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai status syarikat pemaju perumahan dari China yang didakwa memiliki hutang mencecah RM936.9 bilion namun masih dibenarkan menjalankan perniagaan kemajuan perumahan di negara ini.

Akmal Nasrullah bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat terbabit.

“Projek perumahan yang berlesen di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), memang tertakluk mengikut Akta 118.

“Jadi jika di bawah akta itu, memang kita gariskan syarat yang kita guna pakai dan tanggungjawab pemaju serta pembuat keputusan syarikat itu (mestilah) pengarah (syarikat berkenaan),” katanya.

Mengulas mengenai syarikat pemaju perumahan dari China itu, Akmal Nasrullah berkata, secara umumnya syarikat terbabit adalah pemaju berlesen.

Beliau turut memberitahu pihaknya sudah membatalkan lesen pemajuan projek perumahan yang menghadapi masalah.

“Ada projek sudah dibina dan sebenarnya projek yang menghadapi masalah difahamkan dibatalkan lesen pemajuannya. Tiada projek sakit terkait dengan syarikat seperti Yang Berhormat (YB) Segamat sebutkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN