KUALA LUMPUR: Seramai 31 pesalah kanak-kanak dalam tahanan Jabatan Penjara dikategori sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) setakat 11 Oktober lalu.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) dan Akta Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) tidak terpakai kepada kanak-kanak yang dikategori sebagai TLS.
Kedua-dua akta itu masing-masing berkuat kuasa pada 4 Julai dan 12 September lalu.
“Bagaimanapun, kedua-dua akta ini tidak terpakai kepada pesalah kanak-kanak yang dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dikategorikan sebagai TLS,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Gobind Singh Deo [PH-Damansara] mengenai Akta 846 dan Akta 847 jika terpakai kepada pesalah kanak-kanak yang dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sekiranya tidak terpakai, beliau mahu tahu langkah dan cadangan yang diambil kerajaan bagi menyelaraskan perkara terbabit.
Menurut Jabatan Penjara Malaysia, TLS adalah banduan yang melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dijatuhkan hukuman mati.
Namun, mereka tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun atau didapati tidak siuman.
Mereka tidak mempunyai tarikh bebas telah mendapat pengampunan atau peringanan hukuman Yang di Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di Pertua Negeri di mana kesalahan tersebut dilakukan.
Sementara itu, kata Azalina, mengikut Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, mereka layak membuat semakan hukuman melalui Laporan Empat Tahun Sekali (KHETS), selain boleh kemukakan petisyen kepada Lembaga Pengampunan Negeri (LPN) di bawah Peraturan 113.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga bertanggungjawab mengemukakan laporan Lembaga Hakim Pelawat kepada urus setia LPN.
“Laporan ini dikemukakan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi permohonan pengampunan untuk TLS,” katanya. – UTUSAN