PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), mempersoal tempoh masa sebenar kerajaan akan melaksana prosiding jawatankuasa itu secara terbuka atau secara langsung supaya dapat disaksikan oleh orang awam.
Ahli Parlimen Taiping dari DAP, Wong Kah Woh berkata, bagi membolehkan pelaksanaan prosiding secara terbuka perlu meminda dua peruntukan undang-undang iaitu perkara 85 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Seksyen 9 (m) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Bilakah kerajaan akan membenarkan supaya menetapkan tempoh masa supaya boleh melaksanakan prosiding PAC secara langsung dengan meminda undang-undang ini?,” katanya dalam soalan tambahan semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau pada awalnya bertanya tindakan-tindakan yang telah diambil kerajaan dalam menangani isu-isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021, berkenaan ketirisan melibatkan wang awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Kerajaan belum buat sebarang keputusan lagi, tetapi, kami maklum tentang soalan yang ditanya,” katanya.
Pada 14 September lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberitahu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mahu pelaksanaan prosiding secara terbuka dijadikan amalan buat masa ini.
Katanya, Johari memberi peringatan itu setelah berbincang dengan PAC dan memutuskan bahawa prosiding jawatan kuasa itu akan diadakan secara tertutup buat masa ini.
Terdahulu, Mas Ermieyati merancang membuat permohonan supaya prosiding PAC dapat dijalankan secara terbuka.
Pada 8 Jun lalu, PAC berkata, gesaan supaya prosiding PAC supaya dijalankan secara terbuka dan disaksikan oleh orang awam berharap dapat direalisasikan seawal tahun depan.
Peraturan yang ditetapkan ketika ini memperuntukkan tidak membenarkan mesyuarat prosiding PAC dilakukan secara terbuka.
Segala keputusan terletak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat selaku Pengerusi Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk meminda Peraturan Mesyuarat 85, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Sebelum pembubaran Parlimen ke-14, Kah Woh pernah menggesa supaya PAC dijalankan secara terbuka seperti perbahasan di Parlimen yang boleh disaksikan semua pihak.
Katanya, peraturan mesyuarat yang sedia ada tidak mewajibkan laporan-laporan berkenaan dibahas, dan kebanyakan masa laporan yang dibentang hanya sekadar dokumen yang diletak di atas meja ahli-ahli Parlimen malah tidak diberi perhatian lanjut. UTUSAN










