Operasi khas motosikal di Kedah keluar lebih 10,000 saman

Lebih 10,000 motosikal kena saman dalam operasi khas di Kedah

AMAN Shah Hashim (kanan) melihat motosikal yang disita di Depoh Sita JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 10,000 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah sepanjang Operasi Khas Motosikal 2023 yang dilaksanakan di seluruh negeri selama sebulan, pada September lalu.

Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, dalam operasi sama pihaknya turut menyita sebanyak 700 buah motosikal dengan 72 peratus daripadanya ditunggang oleh warga asing.

“Sebanyak 47,106 motosikal diperiksa dengan 3,549 daripadanya dikenakan tindakan undang-undang termasuk saman daripada jumlah keseluruhannya sebanyak 10,526 notis saman yang dikeluarkan.

“Sebanyak 700 motosikal telah disita dengan 507 daripadanya atau 72.4 peratus ditunggang oleh warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti di sini, hari ini.

Tambah Aman Shah, antara kesalahan utama yang dikesan pihaknya adalah tiada lesen memandu sah, tiada perlindungan insurans serta lesen kenderaan motor tamat tempoh.

“Sebanyak 3,352 saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu sah manakala 2,080 lagi kerana tiada perlindungan insurans. Selain itu, 2,113 saman dikeluarkan kerana lesen kenderaan motor tamat dan 2,981 saman pula dikeluarkan kerana lain-lain kesalahan teknikal termasuk ubah suai kenderaan yang tidak dibenarkan.

“Operasi tersebut dilaksanakan hasil kolaborasi bersama agensi penguatkuasaan lain di negeri ini. Langkah tersebut akan terus dilaksanakan dengan matlamat mendidik pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan, berhemah serta sentiasa memupuk nilai selamat serta mengelakkan kecuaian ketika memandu,” katanya.  

Dalam pada itu katanya, pihaknya telah mengadakan sebanyak 111 program advokasi hingga September lalu melibatkan pelbagai kategori termasuk pemandu p-hailing, e-hailing, institusi pendidikan, agensi kerajaan, swasta, komuniti serta rakan strategik.

“Langkah itu menunjukkan JPJ Kedah sentiasa menekankan aspek pendidikan, kesedaran dan keselamatan jalan raya. Kami bukannya menghukum melalui tindakan penguatkuasaan semata-mata,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya