Nilai 3 lesu, dikuasai peniaga asing - Utusan Malaysia

Nilai 3 lesu, dikuasai peniaga asing

PINTU gerbang masuk ke Nilai 3 yang dahulunya sesak dengan kehadiran pengunjung. – MINGGUAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejak wujud pada 2002, Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai dekat sini menjadi ‘lubuk’ orang ramai mencari barangan perhiasan rumah, perkahwinan, langsir dan permaidani pada harga lebih murah berbanding di tempat lain.

Itulah daya penarik Nilai 3 untuk sekian lama sehinggakan ia tersenarai sebagai ‘9 wonders of Negeri Sembilan’ dan dica­tatkan dalam Malaysia Books of Records sebagai pusat borong terbesar di negara ini.

Bagaimanapun selepas 21 tahun, kawasan itu kini dikatakan semakin lesu walaupun masih dikunjungi dan jumlah kedai bertambah lebih sekali ganda semasa awal pembukaannya.

Naib Presiden Persatuan Peniaga Nilai 3 Negeri Sembilan, Patrick Lee, 40, berkata, berdasarkan keadaan semasa, orang ramai masih mengunjungi Nilai 3 walaupun ia tidak lagi seperti waktu kemuncaknya iaitu pada sekitar 2005 sehingga 2011.

“Jika mahu dikatakan kurang sambutan tidak juga kerana dilihatkan daripada bilangan kedai dibuka, ia semakin bertambah. Jika dulu hanya ada sekitar 200 ke 300 kedai, kini sudah mencecah 800 kedai, permintaan itu ada.

“Masih ada lagi yang berkunjung dan membeli-belah di sini, sebab apa? Barangan di sini masih lagi murah, contohnya harga karpet lebih murah sehingga 40 peratus berbanding tempat lain. Hari cuti umum dan hujung minggu, pelanggan yang datang masih ramai, namun memanglah tidak seperti dulu lagi.

“Sekarang sudah banyak pusat borong lain seperti GM Klang (Selangor). Pusat borong itu sahaja sudah ‘potong’ pelanggan dari Lembah Klang untuk datang­ ke Nilai 3.

KEADAAN lengang di Pusat Perniagaan Nilai 3 yang jauh berbeza ketika mula-mula dibuka sebelum ini.

“Dahulu juga ada banyak bas rombongan termasuk yang membawa ahli-ahli parti politik datang ke sini dan berbelanja, sekarang mana ada lagi itu semua,” katanya yang membe­ritahu Nilai 3 pernah mencatatkan jumlah kehadiran seramai dua juta pengunjung bagi satu tahun.

Ditanya apakah perancangan supaya Nilai 3 kembali menjadi pilihan kunjungan orang ramai, Patrick berkata, pihaknya berusaha supaya lebih banyak peniaga yang menjual pelbagai jenis lagi barangan dapat beroperasi di situ.

“Dalam Nilai 3 ada kedai aksesori kereta, lampu, bunga, perabot dan karpet. Kami harap ada kedai-kedai berjenama juga masuk ke Nilai 3 sekali gus kawasan ini bukan hanya sebagai pusat borong lagi,” katanya.

DOMINASI PENIAGA ASING

Berbanding dahulu, Patrick tidak menolak dakwaan yang mengatakan kini Nilai 3 sudah dikuasai peniaga-peniaga asing khususnya dalam kalangan warganegara Pakistan.

Baginya perkara itulah yang sedang berlaku ketika ini malah masalah dominasi peniaga asing­ itu bukan hanya berlaku di Nilai 3 tetapi di pusat-pusat perniagaan lain termasuk di ibu negara.

“Pada mulanya, Nilai 3 kesemuanya adalah peniaga tempatan iaitu terdiri daripada peniaga kedai bunga dan langsir dari Tangkak dan Ayer Hitam, Johor. Kemudian sekitar 2004, barulah peniaga-peniaga karpet dari Pakistan masuk ke sini.

“Sekarang peniaga tempatan hanya tinggal sekitar 30 hingga 40 peratus di Nilai 3. Lagi pun, tiada rakyat tempatan yang mahu berniaga sebaliknya ramai pula peniaga asing yang mahu menjalankan perniagaan. Jadi pemilik lot kedai terpaksa menyewakan atau menjual kepada peniaga asing ini daripada mereka menanggung kerugian.

“Peniaga-peniaga asal di sini juga sudah tua dan berusia, mereka tidak mampu lagi untuk meneruskan perniagaan masing-masing. Tidak hairanlah kita boleh lihat di sini, yang menjalankan perniagaan langsir juga sudah banyak peniaga Bangladesh. Mereka dulu hanya pekerja peniaga-peniaga tempatan, tolong jahit dan angkat barang, tetapi sekarang sudah jadi bos,” katanya.

Patrick memberitahu, daripada 800 kedai di Nilai 3, boleh dikatakan terdapat 100 buah kedai yang menjual permaidani dan kesemuanya dibeli oleh peniaga-peniaga asing dari Pakistan.

“Kita mahu halang mereka berniaga di sini, bagaimana? Mereka sudah 20 tahun berniaga di sini, kalau sebut pasal karpet memang mereka sahaja yang menjalankan perniagaan itu. Ada orang Melayu dan Cina yang cuba jual permaidani namun tidak ‘laju’ seperti mereka. Peniaga Pakistan ini ba­nyak wang, mereka ada banyak pelabur dari negara asal mereka,” katanya.

Mengulas mengenai kekura­ngan peniaga Melayu di lot-lot kedai di Nilai 3, Patrick juga tidak dapat menyembunyikan perkara itu namun membe­ritahu ramai penjaja makanan Melayu yang menjalankan perniagaan di sekitar kawasan itu.

“Ramai peniaga Melayu yang menjual makanan di tepi-tepi jalan di Nilai 3, kami ada me­minta mereka masuk dan menyewa lot-lot kedai bagi perniagaan mereka itu. Kami boleh bantu dapatkan kedai untuk mereka, tetapi mereka tidak mahu dan lebih selesa berniaga di tepi-tepi jalan, apa boleh kami buat?” Soalnya.

KEDAI permaidani dan langsir sememangnya menguasai perniaagan di Nilai 3.

BAWA IMEJ BURUK

Dominasi dan kehadiran ramai peniaga-peniaga asing itu juga diakui oleh Patrick sedikit sebanyak membawa imej buruk kepada kawasan Nilai 3 termasuk pelbagai masalah dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan peniaga asing di situ.

“Ramai tidak datang ke Nilai 3 sebab ‘takut’ kerana terlalu ramai orang asing. Jabatan Imigresen juga selalu buat operasi di sini dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Peniaga-peniaga asing ini juga sukar untuk memberikan kerjasama, kami ada meminta mereka menyertai persatuan kami tetapi mereka enggan. Kami ada minta mereka untuk bersama-sama menyediakan pengawal bagi menjaga kawasan di sini, itu juga mereka tidak mahu walaupun bayaran sebulan hanyalah RM50.

“Alasan mereka, pekerja-pekerja mereka tinggal dan tidur di kedai dan bagi mereka itu le­bih selamat dan tidak perlukan pengawal keselamatan. Mereka juga mempunyai persa­tuan peniaga sendiri dan katanya tidak ada sebab untuk menyertai persatuan kami. Tetapi persatuan mereka memang tidak berdaftar,” katanya.

Selain itu, isu kebersihan juga menjadi masalah utama di kawasan Nilai 3 khususnya sampah-sampah pukal seperti perabot-perabot lama yang dikumpulkan di kawasan lot-lot kedai yang kosong dan terbiar.

“Kadangkala, pihak persatuan juga sudah malu untuk meminta tolong dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain bagi membantu membersihkan sampah-sampah berkenaan.

“Apabila ada yang membeli perabot baharu, pemilik pe­rabot itu meminta peniaga untuk membuang perabot lama mereka dan peniaga yang tidak bertanggungjawab ini membuang perabot lama itu di kedai-kedai dan stor terbiar terutama pada sebelah malam,” katanya yang turut tidak menolak kejadian perhiasan ayat al-Quran yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di Nilai pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini dilakukan oleh peniaga-peniaga asing itu.

Patrick dalam pada itu meminta kerajaan mengetatkan undang-undang dan mengambil tindakan termasuk berkaitan lesen peniaga tempatan yang ‘dialibaba’ yang didakwa turut berlaku di Nilai 3.

ALI BABA LESEN PERNIAGAAN

Sementara itu Pengerusi Jawa­tankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar mengakui terdapat orang tempatan yang menyewakan lesen perniagaan mereka di Nilai 3 kepada warga asing.

“Lesen yang diberikan adalah kepada warganegara Malaysia, tetapi mereka sewakan kepada orang lain. Apabila kita buat penguatkuasaan, peniaga asing ini kata, mereka adalah pekerja kepada pemegang lesen tersebut. Itu alasan yang biasa mereka berikan, kita memang tidak berikan lesen kepada warganegara asing.

“Kerajaan negeri kini sedang mengkaji proses pemberian le­sen dan akan mengenakan sekatan yang lebih ketat untuk menghentikan isu ini. Masalahnya orang kita berterusan sewakan lesen kepada orang asing, itu isu yang utama,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu, satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kaedah dan tindakan yang boleh diambil dalam isu lambakan peniaga asing serta lesen peniaga tempatan di ‘ali baba’ kan khususnya yang berlaku di daerah ini dan Nilai.

Beliau berkata, masalah yang berlaku tersebut perlu diberikan perhatian serius khususnya oleh PBT kerana ia tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.

“Dalam laporan yang di­terima, perniagaan yang dijalankan mempunyai lesen yang sah namun yang menjalankan pula ialah orang asing yang menyewa lesen-lesen tersebut.

“Ada yang ‘alibabakan’ lesen mereka, itu yang berlaku, sepatutnya mereka (pemilik perniagaan tempatan) perlu berada situ, di premis perniagaan mereka, tetapi tidak lagi. Mereka hanya lesen atas nama dan hanya me­ngaku itu mereka yang punya apabila sesuatu berlaku,” kata­nya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu berkata, Nilai 3 masih mempunyai potensi menjadi lokasi pilihan orang ramai untuk berbelanja namun me­ngakui berdepan dengan pelbagai masalah.

“Nilai 3 memang ada potensi, masalahnya kawasan itu terlalu besar dan sekarang ada banyak lagi platform termasuk dalam talian, yang lebih mudah untuk pengguna membeli barangan, tidak perlu lagi pergi sampai ke kedai.

“Apabila ada banyak platform, orang yang mahu pergi secara fizikal ke kedai sudah semakin berkurang, itu cabaran yang dihadapi bukan sahaja di Nilai 3 tetapi di kawasan perniagaan lain,” katanya.

HARGA MURAH JADI TARIKAN

Sementara itu bagi pengunjung pula, walaupun dibelenggu isu peniaga-peniaga asing, Nilai 3 tetap menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan barangan dengan harga murah.

Seorang pengunjung dari Cheras, Suaidi Arshad, 72, berkata, Nilai 3 sentiasa menjadi lokasi yang ditujunya jika ingin mendapatkan barangan seperti cadar dan permaidani.

“Kebetulan isteri saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai personal shopper, dia sering mendapatkan barangan seperti cadar dan permaidani di sini dan kemudian menjualkannya semula kepada pelanggan yang telah menempah awal.

“Memang di sini lebih murah berbanding tempat lain malah boleh tawar-menawar dan laya­nan peniaga memuaskan,” ka­ta­nya yang tidak mempu­nyai masalah dengan keha­diran peniaga-peniaga asing yang mendominasi pusat perniagaan tersebut.

Faktor harga yang murah juga mendorong seorang kakitangan awam yang hanya mahu dikenali sebagai Fauziah, 30, berkunjung ke Nilai 3.

“Kalau saya mencari karpet untuk kegunaan keluarga, memang saya datang ke sini, harganya memang murah dan selain banyak pilihan,” katanya.

Namun dia mengakui keha­diran ramai peniaga dan pekerja asing sedikit membimbangkannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN