PETALING JAYA: Polis menahan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan penerbangan tambang murah, MYAirline.
Lelaki berusi 40 tahun yang juga pemegang saham perniagaan i-Serve itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi tadi di rumahnya di Bangsar.
Penahanan ini menjadikan empat individu ditahan termasuk pengasas syarikat penerbangan tambang murah itu yang bergelar Datuk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek, lelaki itu akan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang dekat sini untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada pukul 10 pagi ini.
Dalam pada itu, kata beliau, 12 buah kenderaan dari dua suspek selain dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd dirampas.
Ujar beliau, pihaknya turut merampas lapan beg tangan mewah, jam tangan mewah (6), komputer riba (dua), barang kemas (10) dan CPU (satu).
“Reman suspek utama juga akan tamat pada hari ini dan akan dibebaskan dengan jamin polis.
“Siasatan masih diteruskan dengan fokus semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve,” katanya di sini.
Kelmarin, lebih 15 akaun bernilai hampir RM5 juta yang mempunyai kaitan dengan pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram dalam proses pembekuan.
Kesemua akaun berkenaan dipercayai milik perseorangan, syarikat serta individu tertentu.
Kesemua akaun berkenaan dikenal pasti dan dalam tindakan untuk pembekuan.-UTUSAN