PETALING JAYA: Lebih 15 akaun bernilai hampir RM5 juta yang mempunyai kaitan dengan pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram dalam proses pembekuan.
Kesemua akaun berkenaan dipercayai milik perseorangan, syarikat serta individu tertentu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua akaun berkenaan telah dikenal pasti dan dalam tindakan untuk pembekuan.
“Tindakan pembekuan ini perlu melalui beberapa proses dan mengambil sedikit masa,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, tahanan reman ke atas lelaki yang juga pengasas penerbangan itu dilanjutkan selama dua hari sehingga esok.
Kata beliau, manakala isteri dan anak lelakinya dibebaskan.
“Siasatan diteruskan dan JSJK mengenal pasti beberapa lagi individu yang boleh memberi keterangan dalam membantu siasatan kes.
“Adalah lebih baik jika mereka tampil untuk memberi kerjasama untuk mengelakkan sebarang kesulitan,” jelasnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pihaknya sedang mengenal pasti aset-aset milik tiga beranak termasuk pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram.
Siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan pihaknya bagi mengesan mana-mana aset termasuk akaun bank atau harta yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.
PDRM juga akan menyiasat punca kewangan milik pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditahan itu.
Siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.
Selasa lalu Ramli dilaporkan berkata, pengasas bersama syarikat penerbangan murah yang berusia 57 tahun itu ditahan polis bersama isteri, 55, dan anak lelakinya, 26, di Shah Alam, Selangor.
Beliau berkata, siasatan pihaknya meliputi pelbagai elemen termasuk bagi mengetahui sumber wang melibatkan rangkaian perniagaan dimiliki tiga beranak itu dipercayai hasil pengubahan wang haram.
Ketiga-tiga mereka direman empat hari bermula kelmarin untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.-UTUSAN