Muslim Care Malaysia, Miles Of Smile kumpul peralatan perubatan

Muslim Care Malaysia, Miles Of Smile kumpul peralatan perubatan untuk Gaza

AHMAD Safuan (kiri) dan Mohd Johari (tengah) bersama sebahagian barangan perubatan yang disumbangkan MCM untuk dihantar ke Gaza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muslim Care Malaysia (MCM) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Miles of Smiles berjaya mengumpulkan pelbagai jenis peralatan perubatan untuk dihantar ke Gaza, Palestin.

Timbalan Presiden MCM, Mohd. Johari Ismail berkata, pihaknya bersyukur kerana sejumlah RM500,000 sumbangan rakyat Malaysia melalui MCM turut dimanfaatkan untuk tujuan itu.

Katanya, pelbagai jenis peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil, pembalut luka, lampin pakai buang, tongkat dan lain-lain, sudah siap sedia dibeli serta dikumpulkan untuk dihantar ke Gaza dan kini diletakkan di sebuah gudang di Madinaty, Mesir.

“Kami sudah banyak kali bekerjasama dengan Miles of Smiles dan yakin semua barangan ini akan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza yang memerlukannya. Cuma, cepat atau lambat kita tidak tahu kerana ia bergantung kepada banyak faktor dan di luar bidang kuasa kita.

“Kami dari MCM datang ke sini untuk sama-sama menguruskan pembelian barangan perubatan ini dan akan memastikan semua barangan perubatan ini  sampai ke Gaza, Insya-Allah.

“Daripada AS$1.5 juta yang berjaya kita kumpulkan melalui gabungan NGO ini, lebih 50 peratus sudah kita belanjakan untuk membeli barangan perubatan. Ada lagi yang belum kita beli kerana hari ini (Jumaat) kedai tutup dan stok tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sejumlah trak yang membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki Semenanjung Gaza menerusi lintasan Rafah hari ini.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmuqaddis menerima maklumat mengenai lintasan Rafah yang terletak antara Mesir dan Gaza sudah dibuka pada pukul 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Sebelum ini,  pihak berkuasa Mesir sebelum ini memaklumkan akan membenarkan 20 lori masuk ke Gaza pada semalam, namun ia tidak berlaku.

Menurut Mohd. Johari, meskipun lintasan Rafah yang menjadi satu-satunya pintu masuk ke Gaza melalui Mesir, masih belum dibuka namun bukan menjadi pihaknya bersama Miles of Smiles untuk berpeluk tubuh.

Sebaliknya kata beliau pelbagai jenis peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil, pembalut luka, lampin pakai buang, tongkat dan lain-lain, sudah siap sedia dibeli serta dikumpulkan untuk dihantar ke Gaza.

Mohd Johari berkata, beliau bersama dua lagi anggota misi iaitu Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein akan turut menyertai konvoi Miles of Smiles memasuki Gaza sekiranya keadaan mengizinkan.

“Pengarah Miles of Smiles, Dr. Essam Mustafe mengucapkan terima kasih kepada MCM dan rakyat Malaysia yang prihatin dan menghulurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin,” katanya.

Menurutnya, Miles of Smiles dianggotai NGO dari pelbagai negara termasuk Turki, Kuwait, Afrika Selatan, Jordan, Mesir dan United Kingdom.

Sementara itu, ratusan lori berisi muatan barangan makanan, perubatan dan keperluan harian beratur sejak lebih seminggu lalu bagi menunggu giliran di laluan ke lintasan Rafah untuk masuk ke Gaza.

Menurut satu kenyataan, kerajaan Mesir memberitahu pihaknya perlukan lebih masa untuk membaiki jalan yang rosak akibat dibom tentera Israel dan mengalihkan kepingan konkrit yang menjadi perisai keselamatan bagi melindungi kompleks imigresen di Rafah.

Lebih 4,000 rakyat Palestin terbunuh dan ribuan yang lain cedera sejak perang Palestin-Israel tercetus, bermula pada 7 Oktober lalu.-UTUSAN

KAPSYEN

 

AHMAD Safuan (kiri) dan Mohd Johari (tengah) bersama sebahagian barangan perubatan yang disumbangkan MCM untuk dihantar ke Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN