Muktamar Pas ‘sejuk’ tidak beri keselesaan kepada pimpinan

Muktamar Pas ‘sejuk’ tidak beri keselesaan kepada pimpinan

PARA pemimpin Pas kini berdepan tanggungjawab membawa mandat akar umbi bagi memenuhi aspirasi untuk memastikan kejayaan parti dalam siri pilihan raya akan datang. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kepemimpinan Pas tidak boleh menganggap kedudukan mereka selamat dan selesa dalam Muktamar Pas Ke-69 yang disifatkan sebagai ‘sejuk’ apabila tiada persaingan bagi merebut jawatan-jawatan utama dalam pemilihannya kali ini.

Malah, parti itu berdepan tanggungjawab membawa mandat akar umbi yang menganggap kepemimpinan sedia ada memenuhi aspirasi untuk memastikan kejayaan parti dalam siri pilihan raya akan datang.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mazlan Che Soh berkata, barisan pemimpin dan akar umbi perlu menyedari sebagai parti politik perlu merai dan menyuburkan demokrasi.

“Ia akan menimbulkan pelbagai persepsi termasuk pemerhatian daripada akar umbi yang perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan hakisan kepercayaan. Adakah parti dikawal atau mempunyai agenda tertentu, pelbagai andaian akan dibuat kawan dan lawan.

“Selain itu, saya kurang bersetuju dengan dakwaan mengatakan akar umbi sepakat untuk mengukuhkan parti, kerana pertandingan tidak membawa kepada perpecahan. Persaingan cuma berlaku ketika itu, kemudian kita move on untuk meneruskan agenda parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini dalam analisisnya mendakwa Muktamar Pas yang berlangsung sehingga Ahad ini dianggap sebagai paling sejuk apabila hampir tiada pertandingan di keseluruhan peringkat termasuk Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Dalam pada itu, Mazlan memaklumkan Pas perlu menunjukkan keupayaan untuk meletakkan barisan pelapis sama ada muka baharu atau generasi muda sebagai pemimpin parti supaya kekal relevan.

“Tindakan sepakat tiada pertandingan atau pencalonan sebenarnya menutup potensi dan peluang muka baharu dan generasi muda untuk ke hadapan kerana untuk maju proses perubahan itu perlu dilalui.

“Kena bersifat terbuka terhadap pertandingan (pemilihan). Jika tidak, parti akan kekal berada di takuk sama. Ia juga membawa suatu konotasi parti tidak berkemampuan untuk berkembang, akhirnya akan mati,” jelasnya.

Sementara itu, dalam muktamar kali ini, Pengarah panitianya, Khairul Faizi Ahamd Kamil memaklumkan pemimpin-pemimpin politik parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dijadualkan hadir termasuklah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pimpinan daripada Gerakan.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut tersenarai dalam tetamu khas yang dijemput untuk menghadiri perasmian muktamar selain pemimpin parti selain komponen seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bumiputera Perkasa (Putra).

“Sepanjang muktamar yang berlangsung sehingga Ahad ini, seramai 1,400 perwakilan dijadualkan hadir. Dalam masa sama penganjurannya turut menjangkakan kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

“Bagaimanapun, jemputan kepada duta besar tiga negara ditarik balik iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura apabila persidangannya akan membahaskan konflik Palestin-Israel dan solidaritinya adalah kepada rakyat Palestin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN