PETALING JAYA: Muktamar Tahunan Pas Ke-69 perlu menjadi medan persediaan bagi mengelakkan Pas menjadi seperti UMNO untuk terus mengekalkan sokongan pengundi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, persediaan meliputi aspek penekanan dan kesedaran kepada ahli serta pimpinan itu penting kerana Pas berada dalam suasana mencipta kemenangan.

“Pengundi Melayu sudah beralih daripada meletak harapan kepada UMNO sebelum ini dan melepaskan harapan kepada Pas. Sebab apa? Budaya politik yang pemimpin UMNO bawa sebagaimana disebut terlibat dengan rasuah dan sebagaimana menyebabkan orang Melayu beralih.
“Jadi kalau pemimpin Pas ikut jejak langkah pemimpin UMNO sekarang, tidak mustahil Pas ditolak selepas ini. Disebabkan Muktamar yang ada pemilihan dan di mana Pas sedang berada dalam keadaan mencipta kemenangan, jadi satu medan paling baik untuk ahli serta pimpinan supaya tidak mengulangi (budaya) UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengambil contoh Pilihan Raya Kecil (PKR) Kuala Terengganu dan Kemaman, Mohd. Zuhdi berkata, Pas perlu bersedia bahawa semua perkara biasa dibuat oleh kerajaan sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai perkara yang betul.
“Sebagaimana disebut oleh hakim bahawa calon tidak terlibat (unsur rasuah) cuma mereka yang dianggap sebagai ejen calon dan dalam konteks itu ialah kerajaan negeri dan Exco yang memberi peruntukan serta sumbangan sewaktu pilihan raya.
“Perkara itu sebenarnya biasa dalam pilihan raya. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pun buat sebagaimana dibuat sebelum ini. UMNO dan Barisan Nasional (BN) lagilah buat perkara ini, apabila tiba pilihan raya ada peruntukan, projek diumumkan.
“Jadi perkara ini dianggap biasa dalam politik Malaysia, tetapi mahkamah buat keputusan tidak boleh. Apabila perkara ini Pas terlibat, maka menunjukkan kita memerlukan kepada persiapan bukan semua perkara biasa dibuat oleh kerajaan sebelum ini perkara yang betul, tetapi ada perkara yang perlu diubah. Ini antara perkara yang perlu dibangkitkan dan kena suarakan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, medan muktamar juga perlu mempersiapkan supaya budaya dan gaya hidup Pas tidak mengulangi kesilapan parti lain.
Katanya, pemimpin Pas sebelum ini sinonim dengan kesederhanaan sama ada tidak tinggal di rumah mewah mahupun berpakaian biasa.
“Jadi, sekarang ini Pas sudah menang besar dalam beberapa peringkat negeri. Perkara ini akan diperhatikan rakyat, apakah kepemimpinan Pas akan sama dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak) semasa menjadi Menteri Besar atau Ahli Parlimen Pas sama dengan Ahli Parlimen parti lain yang hidup dalam keadaan mewah. Walaupun tidak salah, tetapi Pas tidak begitu pada pandangan rakyat.
“Jadi budaya seperti ini berlaku di ambang kemenangan, sebab itu medan mempersiapkan supaya Pas ini dari segi kepimpinan, budaya dan gaya hidup tidak seperti mana parti lain. Kalau tidak Pas suatu masa nanti akan mengulangi kesilapan dibuat pemimpin kerajaan parti lain,” katanya. – UTUSAN









