SHAH ALAM: Penyanyi, Shila Amzah berdepan detik cemas apabila mikrofonnya secara tiba-tiba bermasalah semasa persembahan bersama adiknya, Syahir di konsert pertama pentas Famili Duo musim ke-3, malam tadi.
Pasangan adik beradik itu dilihat tenang dan bersikap profesional mengawal keadaan walaupun menghadapi masalah teknikal ketika menyanyikan lagu ‘Menggegar Dunia’
Ini kali pertama Syahir berhadapan situasi seperti itu, namun adik kepada Shila Amzah itu kelihatan tidak terganggu malah meneruskan nyanyian seperti biasa sehingga meraih pujian juri.
“Walaupun ada masalah teknikal, muka Syahir tak menunjukkan ada masalah berlaku. Begitulah kalau berada di atas pentas. Walau apa berlaku, begitu sepatutnya.
“Saya harap selepas ini tidak berlaku lagi masalah teknikal kerana kami juri perlu mendengar nyanyian peserta,” kata Mas Idayu selaku juti tetap.
Ajai juga turut memuji sikap profesional Syahir selain menyifatkan jejaka itu sudah membuat persiapan untuk tampil di pentas besar.
“Berdasarkan sikap profesional kamu. Masalah teknikal ini bukan sesuatu yang kita nak berlaku.
“Bahkan di konsert besar sekalipun. Bila awak dah bersetuju, tak ada kata mengalah dan teruskan perjuangan,” katanya.
Enam pasangan beradu tenaga untuk merebut gelaran juara termasuklah pasangan Shila Amzah dan Syahir Amzah; Syaiful dan Sharif, Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi, Fuad Rahman dan Tom, Ryan Bakery dan Adam Bakery serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran.
Syaiful dan Sharif dinobatkan sebagai pemenang minggu pertama dan membawa pulang wang bernilai RM10,000. Mereka dalam pada itu memilih tema Cinta untuk persembahan minggu hadapan.
Famili Duo musim ketiga dikendalikan Janna Nick dan Izzue Islam sebagai hos program, manakala Ajai dan Mas Idayu kekal sebagai juri tetap.