KELETAHNYA bersahaja malah kadang kala telo Melayunya itu, mencetuskan tawa.
Boleh dikatakan tidak kering gusi tatkala bersua muka dengan penerima anugerah Pempengaruh Berinspirasi 2022,Maryam Younarae,
Maka, tidak hairanlah, sejak penghijrahannya ke Malaysia empat tahun lalu selepas berkahwin dengan jejaka dari Kelantan, Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, saluran youtube Durian Kimchi pantas menawan hati rakyat tempatan.
Terbayangkan keletah lucunya pasangan ini diselang-seli dengan kesungguhan Maryam bercakap dalam bahasa Melayu dalam pelat
Korea.
Kalau sudah rezeki, siapa sangka daripada sekadar sukasuka mencipta kandungan di Youtube bersama suami, Maryam kini merupakan antara selebriti media sosial yang berpengaruh di negara ini dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial.
Namun, akui wanita asal bandar Ansan, Korea Selatan ini, dirinya hari ini, tidak sama dengan dirinya empat tahun lalu, iaitu sebelum menjadi suri hati Rizal.
“Dulu, saya memang tidak memikirkan diri sendiri. Saya lebih mengutamakan orang lain sebab saya takut orang fikir saya pentingkan diri sendiri.
“Sebelum bertemu jodoh dengan suami, saya seorang pasif yang tidak tahu untuk menyayangi diri sendiri, malah hanya mengabdikan diri untuk memenuhi aspirasi keluarga dan anjing peliharaan.
“Lama-kelamaan, sikap saya itu memakan diri dan menjadikan saya depresi. Saya asyik terfikir kenapa hidup saya begini dan
sampai bila akan terus begini.
“Sehinggalah saya bertemu dengan Rizal. Suamilah yang banyak mengajar saya untuk sayang diri sendiri.
“Kata suami, selalu utamakan diri sendiri dulu sebelum berfikir mengenai
HIJRAH HIDUP
Nyata penghijrahannya kepada Islam pada 2019 dan ke negara ini banyak mengubah dirinya menjadi
insan yang lebih berkeyakinan pada hari ini.
Lulusan Diploma Fisioterapi, Cheongam College ini menjelaskan keputusannya memilih Rizal yang sewaktu itu mengikuti Ijazah Kewartawanan di Universiti Seoul sebagai teman hidup mengubah kehidupannya 360 darjah. Perkenalan yang tidak diduga ketika Maryam menjalankan perniagaan makanan di salah sebuah stesen keretapi bawah tanah mencetuskan bibit-bibit
cinta.
“Pada ketika itu Rizal selalu turun di stesen itu dan saya pula meniaga makanan sebagai kerja sambilan. Lama-kelamaan kami mula berbual dan berkawan. Saya selesa berkawan dengan Rizal kerana dia seorang yang sangat sopan.
“Lebih-lebih lagi selepas berkahwin, saya seolah-olah mendapat harapan hidup baharu, apatah lagi setelah berjaya menempa nama di
Malaysia melalui saluran Youtube duriankimchi dan menjadi pempengaruh media sosial,” katanya.
Ujarnya, sejak berjaya mengumpul pengikut di saluran berkenaan, membuatkan keyakinan dirinya makin bertambah.
Walaupun sekarang semakin meniti populariti, namun katanya dia tetap berpijak di bumi nyata dan akan terus bekerja keras mengembangkan bakat dan perniagaan yang dijalankan bersama Rizal yang juga usahawan dan pempengaruh.
BERANI MENCUBA
Populariti diraih Maryam mendorongnya menyertai dunia perniagaan dengan membuka restoran restoran BBQ korea, K Garden yang dibuka sejak Mei lalu.
Buka restoran ini memang menjadi permintaan pengikutnya sejak sekian lama. Malah sejak awal kemunculannya di media sosial, saya sering berkongsikan resipi-resipi masakan dari Korea. Kebetulan pula saya pun mahir dan suka memasak.
“Sebagai memantapkan kebolehan memasak, saya juga banyak mempelajari teknik masakan daripada nenek dan ibu saudara saya yang tidak
lokek untuk berkongsi kepada pengikut-pengikut saya,” kata ibu beranak satu ini.
Cerita Maryam, sejak pengikut melihatnya memasak, ramai yang bertanya bila hendak
buka restoran.
“Pengikutlah yang menjadi inspirasi saya membuka restoran. Saya ambil masa selama empat tahun untuk buka restoran makanan asli Korea kerana saya mahu buat persiapan yang lengkap dan terbaik.
“Saya tidak mahu semberono. Setiap hidangan adalah resipi yang diolah mengikut citarasa saya sendiri dan saya harap ia
boleh diterima oleh orang ramai,” jelasnya.
Dalam perkembangan terkini, wanita tinggi lampai ini turut melebarkan sayap dalam bidang lakonan melalui penampilan sulungnya dalam filem Mat Tudung.
Malah, tidak lama lagi pula bakal bergelar penyanyi.
“Buat masa sekarang saya memang sibuk sangat dengan kerjaya sebagai pelakon dan juga sedang mengikuti kelas nyanyian
bagi memantapkan vokal,” katanya.
Tidak penat melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa, Maryam beliau komited mengembangkan lagi
pengaruhnya di negara ini.
“Langkah saya baharu saja bermula dan saya ingin melakukan yang terbaik dalam setiap bidang saya ceburi.
“Dalam dunia media sosial, boleh dikatakan saya sudah mempunyai tempat yang tersendiri.
“Namun, dalam industri hiburan sebagai pelakon dan penyanyi tidak lama lagi saya belum siapa-siapa. Jadi, saya mahu bekerja keras untuk itu.
“Setiap apa yang saya lakukan kini, saya mahu berikan yang terbaik dan berkualiti supaya orang nampak kebolehan
saya,” katanya bersemangat.
Sentiasa perbaiki diri
DALAM pertemuan bersama Maryam baru-baru ini, beliau manis mengenakan sepasang sut berona ungu cerah dan tudung berwarna ungu gelap.
Malah, jika dilihat perbandingan penampilannya dahulu dan sekarang, Maryam
sudah jauh berubah.
Mengakui menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, namun ibu kepada cahayamata berusia dua tahun ini tetap mahu kekal istiqamah.
“Saya pakai tudung awal tahun ini. Tetapi itu pun ada dapat kecaman. Ketika itu saya melakukan stail turban, jadi ramai yang mengecam saya
mengatakan nampak leher dan sia-sia sahaja saya pakai tudung.
“Sebagai saudara baharu, saya terfikir adakah kalau saya pakai tudung nampak leher sama sahaja dengan saya tidak bertudung? Saya jadi
keliru kerana saya sebenarnya sentiasa mencuba untuk bertudung. Saya sedang mempelajarinya.
“Jika dilihat ketika saya mula-mula masuk Islam empat tahun lalu saya sudah banyak berubah daripada segi penampilan. Walaupun perlahan, tapi saya sentiasa mencuba,” katanya.
Mengakui sedikit tertekan dengan komen-komen kasar yang dilemparkan oleh segelintir netizen, namun
figura berusia 31 tahun itu tidak mahu terlalu memikirkannya.
Perkara penting bagi dirinya kini adalah untuk hidup gembira bersama suami tersayang dan anak perempuannya, Nik You Rina yang semakin membesar.