Malaysia hantar surat kepada Indonesia tangani masalah jerebu

Malaysia hantar surat kepada Indonesia tangani masalah jerebu

JEREBU rentas sempadan menjejaskan kualiti udara di Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia dan negara-negara ASEAN lain yang terkesan kejadian jerebu rentas sempadan bagi menangani masalah itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, surat itu dihantar kepada Indonesia dan negara-negara ASEAN sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya bagi menangani masalah berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan kandungan surat tersebut dan bila surat itu dihantar.

“Sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri semalam, jadi, kementerian telah susulinya dengan menghantar surat kepada Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Isu surat-menyurat antara negara bukan pertama kali dilakukan kerana semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2019, kerajaan Malaysia ketika itu juga pernah menghantar surat kepada Indonesia berhubung isu jerebu yang melanda negara ini.

Pada September 2019, cerapan IPU oleh Indeks Kualiti Udara Dunia (WAQI), Malaysia mencatat bacaan IPU 266 sekali gus meletakkan Malaysia ketika itu berada di kedudukan teratas dalam senarai negara dengan pencemaran udara tertinggi dunia.

Sementara itu, gesaan supaya negara terkesan dengan jerebu yang berpunca dari Indonesia mengambil tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa terhadap Indonesia disifatkan sebagai satu perkara yang keterlaluan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Koordinator Penerangan Sosial Budaya Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, Yoshi Iskandar berkata, ini kerana jerebu yang berada di negara ini sudah diyakini tidak berasal dari Indonesia sebagaimana yang dijelaskan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK), Indonesia.

“Jadi, tidak perlulah gesa ambil tindakan. Kita ada mekanisme perundingan dalam menangani jerebu dari Indonesia. Kita juga punya mekanisme dua hala antara kementerian Indonesia dan Malaysia.

“Dalam kerangka serantau, kita ada Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Rentas Sempadan, jadi sudah ada mekanisme dan ia juga sentiasa dipantau serta dikendalikan dengan sewajarnya oleh KLHK,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam yang menggesa negara terkesan dengan jerebu mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia yang menjadi antara penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara sejak berpuluh tahun lalu.

Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, ini kerana ASEAN lebih kepada semangat setiakawan, berunding dan berbincang, sedangkan isu jerebu sudah berpuluh tahun, tetapi masih tiada penyelesaian.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta pada Isnin mendakwa aduan Malaysia mengenai jerebu berpunca dari Indonesia adalah tidak tepat.

Kualiti udara di seluruh negara ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung

Malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini mengesyaki kemerosotan kualiti udara itu disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN