MAIPs tidak dibenar didik tiga beradik mualaf kerana tiada buktI

MAIPs tidak dibenar didik tiga beradik mualaf kerana tiada bukti mahu kekal sebagai Islam

LOH Siew Hong hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan MAIPs untuk memberi didikan agama kepada tiga anak mualaf. UTUSAN/SYAKIR RADIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menjalankan tanggungjawab memberi didikan agama kepada tiga beradik mualaf yang kini dipelihara ibu beragama Buddha.

Perkembangan itu ditentukan ekoran keputusan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menolak permohonan MAIPs untuk melaksanakan perintah variasi terhadap ketiga-tiganya.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Hayatul Akmal berpuas hati, permohonan MAIPs tidak melibatkan kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut kerana mereka sendiri tidak berminat untuk mendalami ajaran agama.

Ujar beliau, pendedahan itu diperolehi hasil temu bual terhadap tiga beradik tersebut yang dijalankan secara berasingan dalam kamar untuk tempoh kira-kira sejam 30 minit pada prosiding 27 September lalu.

Temu bual itu bagi membolehkan mahkamah mendapat maklum balas daripada kanak-kanak itu sendiri berhubung permohonan MAIPs untuk melaksanakan tanggungjawab memberi didikan agama kepada mereka.

Hakim Hayatul Akmal berpuas hati bahawa ketiga-tiganya kini lebih selesa menetap dengan ibu mereka, Loh Siew Hong selepas hidup dalam keadaan trauma akibat terpisah selama tiga tahun.

“Mahkamah mengambil kira bahawa Siew Hong membantah dan anak-anaknya sendiri menolak untuk mendapat pendidikan dan asas agama yang ditawarkan oleh MAIPs.

“Tiada bukti yang menunjukkan tiga beradik itu mahu kekal sebagai seorang Islam apatah lagi mereka merupakan mangsa keganasan rumahtangga dan menyaksikan ibu didera,” ujar hakim berkenaan.

Beliau berkata, hasil temu bual itu, mahkamah berpuas hati bahawa ketiga-tiganya mampu berkomunikasi, berterus terang dan meluahkan pandangan menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Dalam penghakimannya, Hakim Hayatul Akmal tidak yakin bahawa permohonan MAIPs akan memelihara kebajikan tiga beradik tersebut.

Beliau membuat pertimbangan bahawa kepentingan kanak-kanak tersebut mengatasi kepentingan lain dan pihak-pihak harus menerima situasi tersebut sambil meminta masa depan mereka tidak dinafikan atau diganggu.

Sementara itu, Siew Hong ketika ditemui pihak media sejurus keputusan diumumkan berharap tiada lagi pihak mencampuri urusannya bersama tiga anak mualaf.

“Saya nak hidup dengan tenang bersama anak-anak, tidak mahu orang (pihak lain) kacau saya, cukuplah.

“Selaku seorang ibu dan saya hanya mahu fokus mengenai pendidikan mereka, bukan fikir pasal kes mahkamah sahaja, kerana kami mahu hidup dengan tenang,” katanya dalam keadaan sebak.

Pada prosiding sebelum ini, peguam Aidil Khalid yang mewakili MAIPs memohon pertimbangan bahawa tiga beradik itu masih beragama Islam dan walaupun dipelihara oleh ibu beragama Buddha, mereka masih memerlukan didikan untuk mendalami ajaran agama.

Seorang lagi peguam mewakili MAIPs, Mohamed Haniff Khatri Abdulla turut berhujah, Siew Hong tidak mampu memberikan asas Pendidikan Agama Islam kepada ketiga-tiganya.

Selain itu, hujah beliau, bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy juga tidak berkemampuan mendidik tiga beradik itu dengan baik kerana baru memeluk Islam, tiga tahun lalu.

Hujah Mohamed Haniff Khatri, Siew Hong mengamalkan ajaran agama Hindu dan Buddha manakala bekas suaminya masih belum mampu membimbing anak mereka yang berusia 12 dan 15 tahun, mengenai rukun Islam.

Menurut peguam tersebut, lelaki itu memeluk Islam pada 7 Julai 2020, sama seperti anak-anaknya.

Sehubungan tu, beliau berhujah bahawa MAIPs bertanggungjawab membimbing dan mendidik ketiga-tiga kanak-kanak mualaf itu untuk mempelajari agama Islam.

Mohamed Haniff Khatri selanjutnya berhujah, majlis itu mempunyai tanggungjawab statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 untuk memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut dipelihara, termasuk dari segi bantuan dibenarkan syarak, yang boleh disalurkan melalui mana-mana penjaganya yang sah.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, MAIPs memohon supaya kanak-kanak itu diberikan akses untuk mempelajari kelas fardhu ain melalui wakil MAIPs di bawah pantauan ibu mereka.

“MAIPs mohon wakil-wakilnya terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki diberi keizinan oleh mahkamah untuk menjalankan kelas fardhu ain bagi tempoh dua jam sekali, setiap dua minggu untuk anak mualaf itu.

“Ini penting kerana selagi kanak-kanak itu Islam, adalah menjadi tanggungjawab setiap saat untuk MAIPs membantu mereka mempelajari Agama Islam,” katanya.

Hujah Mohamed Haniff Khatri, ibu tunggal itu juga akan dibantu untuk mempelajari perkara halal dan haram terutama membabitkan penyediaan makanan terhadap anak-anaknya.

Bagaimanapun, peguam J. Gunamalar yang mewakili Siew Hong berhujah, penukaran agama mereka tidak sah berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penukaran agama kanak-kanak di bawah 18 tahun mesti atas persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Mahkamah mendengar permohonan dikemukakan MAIPs untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi panduan dan pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualaf berkenaan.

MAIPs memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.

Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan MAIPs menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian Siew Hong dan bekas suaminya yang mana ia turut melibatkan hak penjagaan tiga anak mereka.

Dalam petisyen perceraian itu, wanita tersebut diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berumur 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN