PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand komited untuk menoktahkan konflik di sempadan kedua-dua negara dengan menukar zon ‘peperangan kecil’ di selatan Thailand kepada zon perdagangan.
Komitmen itu dinyatakan dalam pertemuan bersama antara kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Srettha Thavisin menerusi mesyuarat dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Srettha berkata, dalam perbincangan bersama, kedua-dua negara membincangkan isu keselamatan negara di utara Malaysia dan selatan Thailand yang menjadi kebimbangan sangat tinggi antara kedua-dua kerajaan.
“Kita bersetuju untuk menjadikan zon ‘perang kecil’ menjadi zon perdagangan, kita cuba membawa kekayaan kepada rakyat di utara Malaysia dan selatan Thailand.
“Perkara itu juga selaras dengan peningkatan jumlah perdagangan dan perniagaan antara dua negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama.
Srettha berkata, kedua-dua negara menikmati jumlah dagangan yang baik, dan beliau berhasarat mahu melihat kejayaan peningkatan perdagangan bersama pada masa depan berbanding apa yang dirancangkan.
Katanya, ini adalah sasaran baharu dan berharap akan mencapai dengan agresif dalam masa terdekat.
Sementara itu, Anwar dalam sidang akhbar sama bersetuju menubuhkan beberapa pasukan petugas bagi merancakkan kerjasama dua hala dalam sektor pelbagai sektor berkepentingan bersama terutama bidang pertanian, pelancongan dan keselamatan.
Sebelum ini, Anwar ketika mengadakan lawatan kerja ke Thailand pada Februari lalu, mengulangi pendirian Malaysia untuk membantu sedaya mungkin proses rundingan damai konflik selatan Thailand yang berlarutan sejak sekian lama.
Beliau memaklumkan, Malaysia selaku negara jiran dan rakan kepada Thailand, akan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan beberapa masalah yang tersangkut, termasuk membabitkan konflik selatan Thailand.- UTUSAN