Mahkamah tolak permohonan Dr. Mahathir peroleh dokumen - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak permohonan Dr. Mahathir peroleh dokumen

Mahathir Mohamad
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Permohonan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mendapatkan dokumen berhubung kes saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini dengan kos RM2,000.

Keputusan tersebut dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain memutuskan demikan selepas peristiwa-peristiwa yang dipetik Anwar (defendan) berlaku beberapa tahun lalu dan tidak direkodkan.

“Keputusan saya adalah mahkamah menolak permohonan dalam Lampiran 17 (permohonan Plaintiff untuk penzahiran dokumen-dokumen dalam Pembelaan oleh Defendan) dengan kos sebanyak RM2,000.

“Alasan ringkas iaitu bahawa yang dinyatakan dalam Pembelaan Terpinda adalah mengenai suatu acara atau peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu tetapi tanpa dinyatakan sesuatu dokumen.

“Walau bagaimanapun sekiranya ada dokumen-dokumen yang dinyatakan itu akan menjadi pembelaan defendan dan perlu dikemukakan semasa PTCM (pre trial case management). Itu alasan ringkas saya,” katanya, hari ini.

Antara dokumen yang dipohon bekas Perdana Menteri itu adalah berkaitan dakwaan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) yang diselamatkan oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997 serta pemberian kontrak kepada Opcom Cables Sdn Bhd oleh Telekom Malaysia Bhd pada 2003.

Dr. Mahathir selaku plaintif diwakili peguam Rafique Rashid dan Akif Rusli sementara peguam Aliff Benjamin Suhaimi dan Phoebe Looi pula mewakili Anwar.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 November ini bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak memaklumkan permohonan interlokutori lain.

Pada 5 Mei lalu, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi RM150 juta terhadap Ahli Parlimen Tambun itu berhubung dakwaan dibuat bekas timbalannya itu bahawa beliau menggunakan kedudukannya untuk memperkayakan diri, keluarga dan bersifat rasis.

Dakwaan tersebut dikatakan dibuat oleh Presiden PKR itu ketika berucap semasa ucapan dasar pada Kongres Nasional 2023 parti berkenaan pada 18 Mac lalu.

Bekas Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7 itu mendakwa kenyataan Anwar itu telah mencalar imejnya sebagai negarawan dan individu yang pernah berada di tampuk pemerintahan pada 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.

Justeru, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan teladan, RM100 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya