PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan, pemohon kewarganegaraan Malaysia yang perlu lulus ujian berbahasa Melayu adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 19 berkaitan dengan kewarganegaraan melalui penaturalisasian.
Menurut DBP, perkara itu menyebut ‘Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati yang salah satu syaratnya ialah ‘bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu’.
Justeru, DBP menyambut baik dan menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berbahas dalam Dewan Rakvat pada 23 Oktober lepas berkaitan perkara itu.
“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sememangnya perlu dikuasai oleh semua warganegara.
“Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi pada peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun.
“Bahasa kebangsaan melambangkan identiti kebangsaan suatu bangsa dan negara,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Dewan Rakyat diberitahu, kebanyakan pemohon taraf warganegara dalam kalangan golongan warga emas gagal dalam ujian penguasaan Bahasa Melayu
Saifuddin Nasutionberkata, ujian penguasaan Bahasa Melayu adalah antara syarat bagi permohonan warganegara Malaysia.
Dalam pada itu, DBP bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperkasakan bahasa Melayu yang baik dan betul dan secara tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“DBP sebagai organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu telah mengadakan pelbagai usaha seperti Dekad Bahasa Kebangsaan, Karnival Bahasa dan Sastera, Program Semarak Bahasa Kebangsaan dan sebagainya.
“DBP juga menawarkan pelbagai kursus untuk penguasaan bahasa Melayu melalui Akademi DBP,” kata kenyataan itu. -UTUSAN