PETALING JAYA: Lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dan seorang ibu bersama tiga anak sedang berada di Tebing Barat susulan pertempuran antara Israel dan Palestin sejak 7 Oktober lalu.
Menurut Wisma Putra, keadaan mereka akan terus dipantau menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan yang sentiasa berhubung dengan mereka.
Ketika ini, Wisma Putra diwakili Bahagian Asia Barat dan Kedutaan Besar Malaysia di Jordan di sana.
“Kementerian Luar Negeri menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara-mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik boleh berhubung dengan Kementerian bagi membolehkan bantuan dihulur sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian Luar Negeri turut menasihatkan supaya pihak yang ingin membuat perjalanan ke kawasan berkenaan menangguhkan perancangan mereka, memandangkan keadaan keselamatan yang masih meruncing pada masa ini.
“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada kementerian ini terlebih dahulu,” katanya.
Sebagai langkah awal, Kementerian Luar Negeri dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusian awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusian Rakyat Palestin (AAKRP).
Orang awam, agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8.-UTUSAN