KUALA LUMPUR: Lima buah lagi kilang beras di Kedah diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan berlaku penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan.
Utusan Malaysia difahamkan dua serbuan dilakukan kelmarin dan tiga lagi semalam.
SPRM ketika ini menumpukan siasatan berkaitan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang-kilang yang dilesenkan.
Menurut sumber, modus operandi yang digunakan ialah mereka disyaki menipu resit pembelian padi di kilang-kilang terbabit dan kegiatan itu melibatkan petani, pengilang dan wakil syarikat pembeli.
“Mereka yang terlibat bertanggungjawab dalam memastikan jumlah padi yang dibeli daripada petani seimbang dengan jumlah subsidi yang dibayar,” ujarnya.
Kata sumber itu, penyelewengan dalam tuntutan subsidi ini disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani.
“Resit-resit pembelian padi dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah berat padi yang dijual,” ujar sumber itu.
Difahamkan subsidi yang dibayar oleh kerajaan melalui kilang terlibat adalah sebanyak RM500 bagi setiap tan padi yang dijual di kilang manakala pihak kilang membeli daripada petani dengan harga RM1.25 sekilogram.
“Ini bermaksud sekiranya, seorang petani menjual satu tan beras kepada pengilang, mereka akan menerima RM1,250 dan RM500 daripada jumlah tersebut merupakan subsidi daripada kerajaan,” jelasnya.
Selain itu, sumber turut mendedahkan bahawa terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan dijual dengan harga beras import.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ditemui selepas majlis Program Public-Private Partnership (PPP) Fasa 2 di sini, semalam menegaskan, siasatan berhubung kepincangan dalam pengedaran beras bukan bersifat mencari kesalahan kerajaan negeri atau mana-mana ahli politik.
“Tidak ada sebarang kekangan politik ataupun sebarang pembabitan mana mana pihak dalam siasatan kami kerana mana-mana pihak yang terbabit dalam isu jenayah, rasuah, salah guna kuasa akan menjadi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, Azam mengesahkan, seorang pemilik syarikat mengimport beras telah didakwa kelmarin dan rentetan itu, SPRM menyerbu dua buah lagi kilang beras di Kedah semalam.
“Siasatan dijalankan bukan sahaja melihat kepada penyorokan bahan ruji itu tetapi kita akan tengok juga kemungkinan terdapat subsidi-subsidi kerajaan yang diselewengkan selain potensi berlaku kesalahan melibatkan pihak lain,” jelasnya.
Sementara itu Azam memberitahu siasatan terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya yang ditahan dengan wang tunai RM38 juta pada Julai lalu masih berjalan.
Menurutnya, siasatan terhadap individu itu sedang dijalankan oleh pasukan petugas dianggotai pelbagai agensi kerajaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hasil penahanan itu, emas dianggarkam seberat 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dirampas.
Menurut sumber, Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia yang diketuai oleh SPRM melancarkan operasi besar-besaran itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
Penahanan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967. – UTUSAN










