Lif tidak berfungsi: Pelajar, penghuni terpaksa ‘panjat’ tangga - Utusan Malaysia

Lif tidak berfungsi: Pelajar, penghuni terpaksa ‘panjat’ tangga

DUA pelajar menunjukkan salah satu lif yang rosak di bangunan pangsapuri yang disewa mereka di Seremban 3, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejumlah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban di Seremban 3 di sini yang menyewa unit kediaman di sebuah pangsapuri perkhid­matan terpaksa berdepan kepayahan apabila lif di bangunan itu tidak berfungsi.

Keadaan tersebut menyebabkan mereka yang kebanyakannya baru tinggal di situ untuk semester ini terpaksa menggunakan tangga untuk ke unit rumah masing-masing di pangsapuri yang mempunyai 12 tingkat itu.

Salah seorang daripada mereka, Dzikril Haziq Mohd. Syamsul Hisyam, 20, berkata, keadaan itu menyebabkannya terpaksa ‘naik turun’ tangga ke rumah sewa di tingkat sembilan dan untuk mengikuti kuliah di kampus universiti yang terletak bersebelahan dengan bangunan pangsapuri berkenaan.

“Untuk semester kali ini saya tidak dapat tinggal di kolej di dalam universiti dan perlu mencari rumah sewa. Kemudian saya dan beberapa orang lagi rakan dapat menyewa satu unit di pangsapuri ini namun malangnya menghadapi masalah ini pula.

“Saya difahamkan ia berpunca ekoran masalah gangguan bekalan elektrik.

“Namun setakat ini, rumah kami masih mempunyai bekalan elektrik. Kami bimbang masalah ini akan berlarutan pula ke unit-unit kediaman lain.

“Kami tidak rasa masalah ini akan selesai dalam waktu terdekat jadi kami memang ada perancangan untuk mencari rumah sewa di tempat lain, memang tidak sanggup untuk hadapi kepayahan begini setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi pelajar yang menyewa di situ, Wan Alya Nadhirah, 21, juga memaklumkan masalah yang sama dan berharap ia dapat diselesaikan demi ke­selamatan dan keselesaan pelajar dan penduduk di situ.

“Bukan hanya isu lif malah masalah gangguan bekalan elek­trik juga menyebabkan kawasan di koridor bergelap ke­rana lampu tidak berfungsi.

“Ini juga mendatangkan kebimbangan buat kami,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 41, memberitahu, dia dimaklumkan masalah tersebut berlaku berpunca pihak pengurusan bangunan mempunyai tunggakan hutang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Masalah ini sudah berlaku sejak Jun lalu.

“Bayangkan sejak itu saya terpaksa menggunakan tangga untuk ke unit kediaman saya di tingkat 12.

“Namun saya lebih kasihankan pelajar-pelajar tersebut, kerana ramai yang terpaksa tinggal menyewa di sini semata-mata untuk belajar. Saya harap mana-mana pihak berkaitan dapat mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN