Kutipan SST terlalu rendah, segera perkenal GST - Ismail Sabri

Kutipan SST terlalu rendah, segera perkenal GST – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri meminta kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, ini disebabkan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pertumbuhan ekonomi global berkembang perlahan sekitar tiga peratus tahun ini dan akan kekal pada paras itu pada 2024.

Katanya, Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia juga menyatakan Malaysia mencatatkan pendapatan cukai yang rendah iaitu sebanyak 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Peratusan itu jauh lebih rendah berbanding purata yang dicatatkan negara berpendapatan sederhana atas lain, iaitu sebanyak 18 peratus daripada KDNK dan berbanding negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Cadangan kerajaan untuk menaikkan SST daripada enam peratus kepada lapan peratus merupakan langkah yang kurang tepat berbanding dengan sistem percukaian lain yang lebih efisien,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail berkata, meskipun kenaikan itu tidak melibatkan makanan dan minuman, harus difahami ia akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang akan turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.

“Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka. Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula GST yang telah dimansuhkan pada 2018.

“GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST. Ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat ‘black economy’ kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kenaikan SST sebanyak dua peratus juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

“Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.

“Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Selain itu, Ismail turut mempersoalkan insentif untuk penoreh getah sewaktu musim tengkujuh pada tahun hadapan.

“Pada tahun lepas, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 dan bantuan diberikan untuk tempoh tiga bulan.

“Jadi, saya amat berharap BMT dikaji semula dan diteruskan pada tahun hadapan bagi memastikan kebajikan penoreh getah sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN