Kualiti udara negara masih merosot - JAS

Kualiti udara negara merosot, 14 stesen catat IPU tidak sihat

KEADAAN jerebu kelihatan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson sejak petang semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sebanyak 14 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Taiping, Batu Muda, Bukit Rambai dan Johan Setia masing-masing pada bacaan 151 manakala Putrajaya, Petaling Jaya dan Port Dickson (155) serta Cheras dan Nilai (163).

Selain itu ialah Klang merekodkan bacaan IPU 134; Banting (156), Seremban (157) dan Alor Gajah (133).

Bagaimanapun, menurut beliau, sebanyak lima kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 49 kawasan pada tahap sederhana.

“Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, sebanyak 121 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera.

“122 hotspot dikesan di Kalimantan dan tiada hotspot dikesan di dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC melaporkan rantau selatan ASEAN mengalami keadaan mendung kecuali di bahagian selatan Sumatera, selatan Kalimantan, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil mengalami keadaan kering.

Katanya, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, katanya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Ini termasuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Beliau berkata, bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS, http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Google Play’.

Tegasnya, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya