KPT beri jaminan kos yuran pengajian tidak naik

KPT beri jaminan kos yuran pengajian tidak naik

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan mahasiswa di seluruh negara tidak akan dibebankan dengan sebarang kenaikan kos yuran pengajian.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menegaskan, KPT tidak akan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup golongan mahasiswa.

“Saya suka nyatakan bahawa KPT tidak menyumbang kepada kenaikan kos dan kita akan pastikan yuran kita berada pada tahap yang sama.

“Soal-soal makan (kenaikan kos sara hidup dan barangan keperluan) semua itu, semua orang kena,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia mengenai situasi lebih 500,000 mahasiswa berhadapan kenai­kan kos sara hidup yang ketara antara RM200 ke RM300 sebu­lan dalam sesi baharu penga­jian.

Malah, ada mahasiswa mendakwa baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka berbaki RM300 selepas tolak kos yuran pengajian, rumah sewa, buku dan peralatan pembelajaran.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik balik subsidi yuran yang dinikmati pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi awam seluruh negara selaras komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat tidak tercicir dalam mendapatkan akses pendidikan tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN