PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan mahasiswa di seluruh negara tidak akan dibebankan dengan sebarang kenaikan kos yuran pengajian.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga menegaskan bahawa kementerian tidak akan menjadi penyumbang terhadap kenaikan kos mahasiswa di seluruh negara.
“Saya suka nyatakan bahawa KPT tidak menyumbang kepada kenaikan kos dan kita akan pastikan yuran kita berada pada tahap yang sama.
“Soal-soal makan iaitu kenaikan kos sara hidup dan barangan keperluan, semua itu semua orang kena,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Cabaran Mahasiswa Menghdapi Kos Sara Hidup’ semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 500,000 mahasiswa berhadapan kenaikan kos sara hidup yang ketara antara RM200 ke RM300 sebulan dalam sesi baharu pengajian.
Malah, ada mahasiswa mendakwa baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka berbaki RM300 selepas tolak kos yuran pengajian, rumah sewa, buku dan peralatan pembelajaran.
Lebih menyulitkan, ada mahasiswa yang terpaksa masak sendiri bagi menjimatkan wang pinjaman selain terpaksa melakukan kerja sambilan selepas kelas pengajian. – UTUSAN










