KPT belanja RM43 juta galakkan usahawan mahasiswa IPTA - Utusan Malaysia

KPT belanja RM43 juta galakkan usahawan mahasiswa IPTA

Mahasiswa usahawan
MEGAT Sany Megat Ahmad Supiyan menandatangani plakad sebagai simbolik penyempurnaan penutupan International Millennipreneur Innovation And Commercialization Exhibition 2023 di UiTM, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak RM43 juta dibelanjakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak 2016 bagi memupuk penyertaan mahasiswa universiti dalam menyemai minda dan membudayakan keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supiyan berkata, menerusi menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025, lebih 40,000 mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadikan usahawan sebagai kerja.

“Pelan itu bukan sahaja disusun untuk menggalakkan IPT melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan di IPT, tetapi selari dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030) yang menyasarkan untuk mempersiap negara bagi menjadi sebuah negara keusahawanan menjelang 2030,” katanya dalam Majlis Penutupan First International Millennipreneur Innovation and Commercialization Exhibition 2023 (IMInE2023), hari ini.

Beliau menambah untuk UiTM, terdapat kira-kira 22,000 usahawan siswa yang mendapat pendedahan dan menjalankan perniagaan semasa tempoh pengajian mereka.  

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan agenda menanam minat dan melatih bakat usahawan tidak seharusnya menjadi tugas KPT serta IPT sahaja dan setiap pemegang taruh di kementerian, agensi, pihak industri dan persendirian perlu turut serta.

“Atas dasar itu, sebagai usaha melengkapkan ekosistem keusahawanan di peringkat KPT, hari ini KPT berbesar hati untuk turut menyempurnakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KPT dan Bank Islam Malaysia Berhad.

“Selain daripada komitmen dan sumbangan sedia ada pihak Bank Islam kepada sektor pendidikan tinggi negara sebelum ini, kita harap pemeteraian MoU ini akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara IPT kita di seluruh negara.

“Harapan kita  Bank Islam akan dapat membantu sektor pendidikan tinggi negara untuk bersama-sama meneroka pelbagai lagi kerjasama yang boleh membantu usaha pemupukan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT,” katanya.

Katanya lagi, KPT kini sedang menumpukan usaha memperkemas ekosistem keusahawanan termasuklah memantapkan dasar kementerian berkaitan startups (syarikat atau usahawan pemula)

“Melalui semakan dasar ini, matlamat utama kita adalah untuk mewujudkan satu ekosistem yang boleh benar-benar menggalak dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan startups yang dipacu oleh golongan pelajar sendiri, ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya