KPM pastikan semua agenda Belanjawan 2024 dilaksana

KPM pastikan semua agenda Belanjawan 2024 dilaksana

FADHLINA Sidek (duduk) beramah mesra dengan seorang peserta semasa sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, semalam. - MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Pendidikan yang menerima peruntukan besar dalam Belanjawan 2024 akan memastikan semua agenda dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pemberian peruntukan tinggi itu hadir dengan tanggungjawab besar dalam memastikan setiap perancangan berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2024, kementeriannya menerima peruntukan bagi pembinaan 26 sekolah baharu, 26 perluasan prasekolah, 18 blok bangunan untuk murid berkeperluan khas, Jelajah Pendidikan Masa Depan Negara dan beberapa lagi.

“Kementerian Pendidikan masih menjadi kementerian yang menerima peruntukan terbesar menerusi Belanjawan 2024 ini iaitu berjumlah RM58.7 bilion dan pastinya kita sambut pemberian ini berdasarkan perspektif perjuangan dalam sisi pendidikan manusiawi selama ini.

“Kita akan pastikan semua agenda dalam belanjawan dapat dilaksanakan khususnya apabila mendapat peruntukan besar ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Tahun 2023 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, semalam.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024 kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Pendidikan menjadi penerima peruntukan paling banyak untuk tahun depan iaitu berjumlah RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada 2023.

Selain itu, beliau mengumumkan sebanyak RM1.9 bilion disediakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Mengulas mengenai program berkenaan, Fadhlina berkata, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan namun bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Mudah-mudahan kita dapat saksikan banyak lagi sukan dapat diketengahkan dalam bersama-sama meraikannya bagi mencapai tahap kecergasan dan budaya sihat demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN