Kota Raya jadi Kota Manila

Kota Raya jadi Kota Manila

KOMPLEKS Kota Raya di Kuala Lumpur menjadi tumpuan warga Filipina untuk mendapatkan pelbagai keperluan termasuk makanan, barangan runcit dan pakaian khususnya pada hujung minggu serta cuti umum. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kompleks Kota Raya yang merupakan antara pusat beli-belah terawal dibina di ibu negara menyimpan 1,001 nostalgia.

Apatah lagi dengan kedudukannya yang terletak berhampiran Pasar Seni dan Jalan Petaling, kompleks yang dibina pada tahun 1960-an ini sangat popular dalam kalangan warga kota satu ketika dahulu tanpa mengira lapisan masyarakat.

Malah, pusat beli-belah ini antara tempat berkumpulnya anggota kumpulan seperti Skinhead dan Punk, melepak bersama rakan-rakan selain tempat tumpuan remaja sekitar 80-an dan 90-an. Di samping itu, ia muncul antara kawasan perhentian bas mini yang cukup popular pada masa itu.

Bagaimanapun, kini keadaan sebaliknya berlaku apabila Kompleks Kota Raya yang semakin dimamah usia menjadi kawasan tumpuan warga Filipina.

Berdasarkan tinjauan Mingguan Malaysia baru-baru ini, boleh dikatakan lebih 60 peratus premis perniagaan dalam kompleks tersebut berindentitikan dari negara yang sering kali dikaitkan dengan ‘pinoy’ dan ‘pinay’.

Ia termasuk restoran yang dikuasai kira-kira 90 peratus oleh warganegara Filipina dengan pelbagai jenis masakan dari negara berkenaan selain beberapa kedai pakaian terpakai dan baharu.

Seorang warganegara Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Glen, 33, dan fasih berbahasa Melayu berkata, dia menetap di Malaysia sejak 10 tahun lalu serta melihatnya sebagai sebuah negara yang mudah ‘mencari makan’ termasuk menjalankan perniagaan.

“Saya ada hantar baju untuk dijual ke Filipina. Di sana harganya lebih mahal dan untung lebih besar. Jadi kemeja-T yang biasanya dijual di kedai saya pada harga RM5, saya mampu peroleh keuntungan lebih besar kalau dieksport ke sana (Filipina).

“Kebanyakan baju berjenama yang saya peroleh dari negara jiran iaitu Thailand,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berdasarkan tinjauan Mingguan Malaysia juga, selain kedai pakaian, restoran dan kedai gunting rambut, terdapat kira-kira empat premis yang menjual barangan runcit dari Filipina.

IKLAN mencari pekerja warga Filipina di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur.

Apa yang menimbulkan persoalan, bagaimana ramai warga Filipina yang dipercayai turut berniaga dan bekerja boleh `berkumpul’ di kompleks tersebut.

Kompleks itu mengalami perubahan drastik berbanding tahun 1990-an apabila ia saling tidak tumpah seperti Kota Manila.

Semua keperluan warga asing itu tersedia daripada makanan, barangan runcit sehingga kepada pakaian. Hujung minggu semakin meriah di situ.

Suasana di kompleks ini juga penuh dengan pelbagai papan tanda menggunakan perkataan Tagalog yang semestinya membuatkan sesiapa sahaja berasa seperti berada di negara berkenaan.

Dalam pada itu, pekerja pusat dandanan rambut warganegara Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Magdalena, 43, berkata, dia bersama rakannya mula bekerja sejak hujung tahun lepas di Kompleks Kota Raya.

Dia menyifatkan bekerja di kompleks itu selesa dan sangat mudah terutama bagi untuk mencari barangan keperluan daripada negara kelahirannya.

ANTARA premis perniagaan yang dipercayai dikuasai oleh warga Filipina di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur. -MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

WAS-WAS DENGAN PEKERJA FILIPINA

Sementara itu, bagi anak jati Kuala Lumpur, Rosilawati Idrus , 55, keadaan kompleks tersebut begitu berbeza jika dibandingkan ketika dia bekerja sekitar tahun 90-an dahulu.

“Kalau dibandingkan dengan 30 tahun lalu memang sangat berbeza kerana pada masa itu kawasan terbabit memang dipenuhi warga tempatan.

“Zaman sekarang sudah berubah kerana terlalu banyak orang asing. Saya tidak tahu dari mana mereka datang. Kadangkala rasa takut juga untuk ke situ,” katanya.

Pada masa sama, dia mempersoalkan sama ada semua warganegara Filipina tersebut memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah atau sebaliknya.

“Apa yang saya tahu warganegara Filipina ini ada sektor-sektor tertentu sahaja yang mereka boleh bekerja seandainya datang ke Malaysia.

“Mengapa ada yang berani buka restoran pula? Adakah mereka sah untuk berniaga dan ikut prosedur yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)?” soalnya.

STATUS LESEN PERNIAGAAN, CUKAI BARANGAN IMPORT

Dalam perkembangan lain, Rosilawati turut mempersoal tentang barangan import yang dibawa dari negara terbabit dan dijual secara berleluasa di Kompleks Kota Raya.

“Ada banyak barangan seperti makanan ringan, makanan dalam tin dan pelbagai barangan lain dijual di kedai-kedai runcit yang turut menggunakan papan tanda bahasa Tagalog.

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana barangan ini boleh dijual di kedai-kedai tersebut dengan mudah. Adakah ia mengikut garis panduan dan ketetapan dibawah Akta Makanan 1983 dan peraturan mengimport makanan?” katanya.

Katanya lagi, lesen perniagaan di semua premis di Kompleks Kota Raya juga perlu dipantau dan diperiksa bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan lesen oleh penyewa tempatan.

“Adakah PBT membenarkan papan tanda dengan menggunakan bahasa asing digunakan dengan semudah itu? Bagaimana pula dengan lesen perniagaan milik mereka? Apakah ia sememangnya sah? Justeru ada pelbagai persoalan yang timbul apabila memperkatakan tentang kehadiran mereka di situ,” ujarnya.

‘SEJARAH’ WARGA KOTA KINI SEMAKIN PUDAR

Sementara itu, Ramlan Mujni, 68 berkata, dia masih mengingati dengan jelas kenangan ketika bekerja sebagai pemandu bas mini di ibu negara kira-kira 20 tahun lalu yang masih terpahat dalam ingatannya.

“Pada masa itu, Kota Raya antara tempat perhentian bas mini selain ‘port’ untuk melepak. Berduyun-duyun orang berebut mahu menaiki bas walaupun terpaksa berhimpit macam dalam tin sardin. Tambang bas mini pula lebih kurang 50 sen. Boleh dikatakan kalau anak muda mahu melepak, Kota Raya menjadi antara tempat pilihan.

“Itu belum lagi cerita berkenaan gelagat orang ramai. Ada yang baru datang dari kampung, ada kutu rayau dan pelbagai ragam lagi. Pada masa itu orang asing sudah ada tapi tidaklah terlalu ramai macam sekarang sampaikan orang Filipina pun sudah bertapak di kompleks berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, keadaan di Kompleks Kota Raya pada masa lalu sememangnya sesak terutama ketika waktu puncak.

“Keadaan jalan raya pada masa itu juga sesak teruk sebagaimana waktu sekarang. Maklumlah ia antara kawasan utama dalam ibu kota,” katanya yang turut menyifatkan ia sebagai sebahagian ‘sejarah’ warga kota.

PEMANTAUAN, TANGKAPAN DAN PEMBUKTIAN

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin ketika ditanya tentang isu warga asing berkata, semua aktiviti pekerjaan dan perniagaan hanya dibenarkan bergantung kepada jenis pas kemasukan ke negara ini.

“Kalau mereka (warga asing) yang masuk ini menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk sektor perkilangan, maka warga asing tersebut perlu bekerja kilang.

“Bagitu juga kalau ada warga asing yang mahu melakukan aktiviti perniagaan, mereka perlu ikut prosedur dengan memohon pas tertentu, kemudian barulah boleh melakukan perniagaan dan bukannya menggunakan PLKS,” katanya.

Tambah Syamsul Badrin, pihaknya sering melakukan tugas risikan dan tangkapan secara berterusan berdasarkan aduan orang ramai.

Bagaimanapun katanya, terdapat kesukaran untuk membuktikan seseorang warga asing itu melakukan kesalahan dengan menyalahgunakan pas pekerja.

“Saya bagi satu contoh. Katakanlah ada seorang warga asing yang kita nak tangkap dan dakwa sebab berniaga. Dia menggunakan lesen pendaftaran perniagaan orang Malaysia. Jadi bagaimana kita nak buktikan bahawa dia sedang berniaga sedangkan dia menggunakan alasan bahawa dia sedang bekerja.

“Begitu juga situasinya kalau di pasar borong.Warga asing terbabit mungkin duduk di depan premis dengan memegang sayur untuk berniaga. Kalau kita tangkap bagaimana kita nak buktikan bahawa dia memang betul-betul berniaga? Jadi sebab itulah saya boleh katakan bahawa pembuktian itu sukar. Jadi ini antara kekangan yang kita hadapi dalam isu membabitkan warga asing,” katanya.

Bagi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey pula, tindakan penguatkuasaan ke atas isu melibatkan harta intelek atau melibatkan barangan tiruan adalah berasaskan aduan pengaduan diterima.

“Tindakan penguatkuasaan turut melibatkan kehadiran bersama pemilik cap dagang atau wakil pemilik cap dagang untuk tujuan pengesahan awal ke atas barangan yang disyaki tiruan sebelum tindakan lanjut dibuat.

“Ia sama ada berkait dengan siasatan, kompaun atau dakwa di mahkamah,” jelasnya.

SALAH RAKYAT MALAYSIA?

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MOH), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, warga asing tidak boleh meniaga dalam beberapa sektor yang telah disenaraikan PBT.

“Antara yang tidak boleh mereka berniaga ialah kedai gunting rambut, tekstil atau perniagaan yang berkaitan dengan perusahaan industri kecil sederhana (IKS). Ini satu kesalahan di bawah undang-undang PBT.

“Warga asing yang dibenarkan berniaga ialah dalam sektor teknologi tinggi atau perkilangan yang melibatkan pelaburan besar. Apabila ada warga asing yang meniaga dalam sektor IKS, ini mewujudkan persaingan untuk warga tempatan pula. Sektor-sektor IKS ini hanya untuk orang tempatan, ” katanya.

HISHAMUDDIN HASHIM

Bagaimanapun kata Hishamuddin, apa yang menjadi masalah apabila ada orang tempatan yang memajak lesen perniagaan mereka untuk warga asing.

“Saya tidak menolak kemungkinan lesen perniagaan ini ‘dialiabakan’ oleh peniaga tempatan.

“Sebenarnya undang-undang itu ada. Cuma masalahnya pelaksanaan dan penguatkuasaan itu benar-benar serius atau tidak. Jadi pada saya perlu ada pemantauan secara berterusan. Takkanlah DBKL hanya keluarkan lesen sahaja tanpa ada pemantauan?” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×