PETALING JAYA : Klinik-klinik swasta di negara ini terbeban kerana dikenakan caj tinggi antara RM2,500 dan RM5,000 sebagai bayaran sekali sahaja bagi pelantikan sebagai klinik panel atau pun membayar RM250 setiap tahun.
Bayaran itu didakwa dikenakan oleh organisasi penjagaan terurus (MCO) dan pentadbir pihak ketiga (TPA) yang merupakan orang tengah atau pentadbir pihak ketiga dalam urusan penjagaan kesihatan untuk pekerja sektor swasta.
Difahamkan, MCO dan TPA tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan perkhidmatan yang ditawarkan pihak terbabit merupakan kontrak antara doktor dan entiti berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak mendakwa, perkara itu berlarutan lebih lima tahun lalu.
Sepatutnya beliau mendakwa, mengikut peraturan di bawah Akta Perkhidmatan dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998, syarikat-syarikat insurans tidak boleh mengenakan caj tersebut terhadap klinik-klinik.
Menurutnya, caj antara RM2,500 dan RM5,000 itu hanya boleh dikenakan kepada syarikat-syarikat yang ada pekerja swasta serta menggunakan insurans pentadbir pihak ketiga.
“Tetapi apa yang tertakluk di bawah PHFSA hanya peraturan semata-mata. Ia bukan akta atau undang-undang yang wajib dipatuhi.
“Jadi, mereka (MCO/TPA) tidak hairan dengan peraturan itu dan tetap mengenakan caj tinggi terhadap klinik-klinik demi memperoleh keuntungan,” katanya di sini semalam.
Sehingga kini, terdapat 30 MCO/TPA antaranya seperti Pmcare, Health Connect, Etiqa dan MediExpress.
Boi Saidi sebelum ini meminta kerajaan mengawal selia pihak-pihak yang menjadi orang tengah atau pentadbir pihak ketiga dalam urusan penjagaan kesihatan untuk pekerja-pekerja sektor swasta demi menjaga keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit.
Presiden Perdim itu dilaporkan mendakwa, model perniagaan tersebut ketika ini dilihat seolah-olah sudah melanggar beberapa peraturan dan undang-undang yang berkaitan antaranya termasuk PHFSA 1998 dan Peraturan (2006), kod kelakuan profesional Majlis Perubatan Malaysia (MMC) serta garis panduan amalan perubatan yang baik.
Mengulas lanjut, Boi Saidi berkata, orang tengah ataupun pentadbir pihak ketiga dalam urusan penjagaan kesihatan untuk pekerja sektor swasta diperlukan tetapi kewujudannya ketika ini menjadi antara penyumbang peningkatan kos penjagaan kesihatan.
“Pihak terbabit menawarkan pentadbiran luaran antara pembekal perubatan, syarikat dan syarikat insurans serta membantu dalam proses tuntutan, polisi korporat dan peruncitan dan kemudahan kewangan.
“Pendapatan terbesar mereka wujud dalam bentuk upah atau komisten ke atas premium, yang dipiawaikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Kawal Selia Insurans (IRDA). Kebanyakan rakyat tidak menyedari bayaran premium tambahan yang dikenakan oleh syarikat insurans untuk perkhidmatan TPA,” katanya.
Beliau berkata, regulasi boleh dikuat kuasakan dengan meminda dan memasukkan peruntukan tambahan ke dalam akta sedia ada seperti PHFSA 1998.
Menurutnya, Perdim juga berharap kerajaan segera mewujudkan Akta MCO/TPA yang sudah dirangka sejak 1999 tetapi belum dibawa ke Dewan Rakyat untuk digubal sebagai akta.
“Akta ini perlu diwujudkan bagi mengawal selia amalan penjagaan kesihatan oleh MCO/TPA,” katanya.
Dalam pada itu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga prihatin terhadap operasi dan aktiviti tidak terkawal TPA atau Organisasi Penjagaan Terurus (MCO) ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan berkenaan, terdapat lebih daripada 30 TPA di bawah Kementerian Kesihatan iaitu mereka adalah orang tengah dalam menguruskan faedah perubatan pekerja untuk majikan.
Sebilangan daripada mereka mengenakan bayaran pendaftaran yang besar di Klinik Perubatan Am (GP) swasta sehingga RM5,000 dikenakan hanya untuk dilantik sebagai klinik panel.
TPA juga memperoleh hasil melalui amalan pembahagian yuran, sama ada dengan mengurangkan yuran perundingan GP atau menuntut sebahagian daripada yuran ini melalui potongan penyelesaian akhir.
Sesetengah TPA juga mengambil potongan 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah bil, yang berpotensi menjejaskan penjagaan pesakit, namun tiada tindakan pembaikan diambil setelah diketengahkan kepada Kementerian Kesihatan sejak 2015.
Selain itu, ketiadaan pemantauan amalan TPA dalam penyumberan luar preskripsi ubat jangka panjang (LTM) kepada ahli farmasi melalui e-preskripsi menimbulkan kebimbangan.
Kesan daripada amalan ini menimbulkan risiko kepada kesihatan pesakit mengambil ubat jangka panjang yang tidak selaras dengan pendekatan holistik dalam penjagaan dan pengurusan kes kronik terutamanya Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
Menurut MMA, Kementerian Kesihatan setakat ini enggan campur tangan dalam perkara ini meskipun telah membangkitkan isu-isu ini dalam mesyuarat baru-baru ini yang dianjurkan oleh Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia.
Dalam pada itu, MMA, telah mengetengahkan penyelewengan tersebut kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC), menggesa tindakan diambil terhadap doktor dalam kontrak yang dipersoalkan dengan TPA.
Justeru, MMA menggesa Kementerian Kesihatan MMC dan badan yang berkaitan untuk segera mengambil bahagian dan menghentikan amalan komersial dan tidak beretika TPA ini dan mengawal selia aktiviti mereka dengan ketat. –UTUSAN