KUALA LUMPUR: Pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri-Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 bacaan kali yang kedua bermula sekarang.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menghuraikan RUU tersebut yang mempunyai lima fasal iaitu Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadang.
Katanya, Fasal 2 meminda seksyen 6 Akta 533 dengan memasukkan perenggan baharu (1)(da) dan (db) untuk meluaskan keanggotaan lembaga dengan menambah seseorang mewakili Sabah hendaklah dilantik oleh menteri selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah.
Bagi seseorang mewakili Sarawak, hendaklah dilantik oleh menteri selepas berunding dengan Premier Sarawak.
“Fasal ini juga memperuntukkan orang yang mewakili negeri Sabah dan Sarawak itu hendaklah dalam kalangan orang yang berkedudukan dan berpengalaman dalam perkara kewangan, komersial, percukaian atau undang-undang.
“Fasal 3 bertujuan meminda Seksyen 7 Akta 533 bagi memperuntukkan anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) hendaklah juga memegang jawatan.
“Ini tertakluk kepada apa-apa terma sebagaimana yang ditentukan oleh menteri, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula,” katanya semasa membentang RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, bagi fasal 4, ia bertujuan meminda Seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan bahawa menteri boleh, pada bila-bila masa, tanpa memberi sebab, membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da).
Jelasnya, ini selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(db) selepas berunding dengan Premier Sarawak.
“Selain itu, anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) juga boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatannya dengan memberi notis secara bertulis kepada menteri.
“Namun, fasal 4 ini akan dibincang dengan lebih lanjut berhubung proses pembatalan pelantikan seseorang wakil negeri Sabah dan Sarawak dalam Jawatankuasa,” katanya.
Katanya, Fasal 5 bertujuan meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan Lembaga dengan menyimpan wang Lembaga yang ada untuk pelaburan ke dalam bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya.
Menurutnya, ini selaras di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, mana-mana institusi kewangan lain yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia dengan sewajarnya di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 atau koperasi yang didaftar dengan sewajarnya di bawah Akta Koperasi 1993,” katanya. – UTUSAN