Keterangan enam individu diambil babit kematian bayi dua bulan

Keterangan enam individu diambil babit kematian bayi dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan mengambil keterangan seramai enam individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian kanak-kanak itu.

“Setakat ini, enam saksi dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat (daripada pihak hospital),” katanya di sini.

Terdahulu, media melaporkan seorang pengasuh wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, Selasa lalu.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, wanita warga asing berusia 40-an ditahan berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, ibu kanak-kanak perempuan tersebut menerusi sebuah video di Instagramnya @asharosli mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkenaan keadaan anaknya sebelum didapati meninggal dunia dipercayai kecuaian pengasuh.

Jelasnya, kejadian malang itu terjadi pada hari kedua puteri keduanya, Qaseh Aulia yang berusia dua bulan dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini, 10 September lalu.

Menurutnya, anak perempuannya itu tidak sedarkan diri dipercayai sukar bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.

“Dengan keadaan dibedung, posisi meniarap membuatkan sukar untuk bernafas. Tengok CCTV, hampir 10 minit Aulia berjuang.

“Cuma mungkin terkilan dengan pengakhiran Aulia disebabkan sikap cuai,” tulisnya menerusi video tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN