PETALING JAYA: Sebanyak 12 lagi lelaki ditahan polis disyaki terlibat dengan insiden pergaduhan berkaitan urusan menunda kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, di sini pada Isnin lalu.
Penahanan kesemua suspek itu berusia 20 hingga 35 tahun ini menjadikan sebanyak 20 individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kesemua individu berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini.
Kata beliau, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang tidak mematuhi undang-undang negara.
“Tindakan tegas akan diambil demi menjaga keharmonian dan ketenteraman masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin, lapan lelaki disyaki terlibat dengan insiden pergaduhan berkaitan urusan menunda kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan.
Satu makluman diterima polis daripada orang awam mengenai satu kes rusuhan melibatkan beberapa individu yang menggunakan senjata pada pukul 1.37 pagi.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca daripada satu kes kemalangan kereta dan pergaduhan dua pihak yang mahu menunda (towing) kenderaan tersebut. – UTUSAN










