PETALING JAYA: Kerajaan komited untuk memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia termasuk menambah baik kemudahan Visa-On-Arrival, pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara India dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga berhasrat memudah cara kelulusan Pas Penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama dan memperkenalkan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.
Katanya, kerajaan juga telah bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.
“Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini. – UTUSAN