Kerajaan perlu umum tindakan balas FDI secara berkala

Kerajaan perlu umum tindakan balas FDI secara berkala

KERAJAAN harus bersikap proaktif dalam memberi penjelasan mengenai pelaburan bila ia dijangka masuk, berapa sudah direalisasikan, sektor mana dan sebagainya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melakukan pemakluman secara berkala setiap bulan mengenai pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara dan tidak terus memberi ruang kepada pihak lain ‘memutarbelitkan’ keadaan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Penganalisis ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, hal ini berikutan proses pengaliran pelaburan masuk ke dalam negara kini terganggu disebabkan krisis politik dunia di mana berlaku beberapa peperangan.

Kata beliau, kerajaan perlu menerangkan mengenai perkara tersebut supaya masalah dihadapi mengenai pengaliran pelaburan itu selain tidak memberi ruang untuk pihak tertentu memanipulasikannya bagi meraih kepentingan diri.

“Agak malang buat masa ini kita menghadapi pelbagai krisis termasuk perang Palestin-Israel, Russia-Ukraine dan sedikit perang dingin antara Amerika Syarikat (AS) dengan China yang masih belum tamat.

“Walaupun kita nampak ia sebagai perkara kecil, tetapi krisis-krisis ini sedikit merencatkan proses pengaliran pelaburan masuk ke dalam negara kita. Jadi, ini sebenarnya bukan kelembapan agensi, penjawat awam mahupun kementerian tetapi ketidakstabilan politik dunia.

“Jadi, kerajaan harus bersikap proaktif dalam memberi penjelasan mengenai pelaburan yang dijanjikan seperti memberitahu bila ia dijangka masuk, berapa sudah direalisasikan, sektor mana dan sebagainya.

“Jangan beri ruang untuk pihak-pihak lain untuk memutar belit apa yang terjadi sekarang,” ujarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan didakwa kurang proaktif mengatasi masalah ekonomi termasuk berkaitan pelaburan bernilai beratus bilion yang diumumkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menteri bertanggungjawab mengendalikannya tidak seharusnya bergantung kepada pengumuman melalui sidang media atau di laman media sosial semata-mata.

Katanya, kementerian terlibat harus mengambil tindakan susulan selepas pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

Mengulas lanjut Baharom menyifatkan masalah ekonomi yang berlaku di negara ini sudah digunakan oleh beberapa ahli Parlimen yang mempunyai masalah dalaman untuk kepentingan diri walaupun perkara tersebut berlaku disebabkan krisis dunia.

“Sepatutnya untuk menerajui negara keluar daripada kesusahan, kita perlukan sokongan dan dokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak. Jika betul Ikhlas ahli Parlimen ini perlu terus berjumpa dengan kementerian bertanggungjawab dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika hanya mahu nak kritik, semua orang boleh lakukan, tetapi nak cadang pula, bukan semua boleh sebab untuk melontarkan kritikan tu mudah serta murah tetapi tidak dalam memberi cadangan.

Saya tidaklah terlalu menyokong kerajaan sekarang sangat, cuma sebagai seorang penyelidik, saya faham bahawa negara kita sedang berada dalam satu situasi yang amat sukar.

“Negara bukan sahaja menghadapi kesan daripada krisis dalaman seperti pergaduhan politik setiap hari, ugutan untuk menjatuhkan kerajaan setiap masa tetapi kita juga menghadapi kesan dari luaran iaitu perang sedang berlaku ketika ini,” jelasnya

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebarangkalian FDI yang dijanjikan masuk ke dalam negara terbatal, Baharom berpandangan, kemungkinan itu boleh berlaku.

“Contohnya, pelabur tersebut berpangkalan di sebuah negara yang menghadapi krisis dan tiba-tiba syarikatnya lumpuh. Jadi, ada kemungkinan untuk perkara tersebut berlaku.

“Pelaburan yang dijanjikan ni macam guruh di langit, belum hujan lagi. Kadang-kadang ada guruh sahaja tetapi tidak hujan. Namun, ini tetap merupakan petanda baik buat negara, cuma persoalannya bila sahaja ia berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN