KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak akan menghalang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertemu Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) berhubung isu etika pemakaian bagi sukan berkenaan.
Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan KBS yang dilihat serius mahu membantu atlet terjejas.
Namun Hishamuddin berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan garis panduan pemakaian atlet wanita Muslim dalam beberapa sukan antaranya gimnastik, gimrama dan renang.
Menurut beliau, larangan penyertaan atlet dalam Sukan Malaysia (Sukma) bagi sukan terbabit telah dikuatkuasakan sejak penggal lalu, bagaimanapun hanya tertakluk kepada atlet Muslim.
“Menteri nak jumpa, kerajaan negeri tiada masalah sebaliknya kami sambut baik lagipun itu memang tanggungjawab mereka untuk turun padang dengan mana-mana persatuan sukan.
“Cuma perlu diingat kami ada garis panduan dibuat berpandukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang di dalamnya ada yang fleksibel dan ada yang kami perlu bersikap tegas.
“Tetapi harus difahami juga garis panduan ini hanya bagi atlet Muslim jadi jika ada atlet bukan Muslim mahu sertai sukan terbabit, kerajaan negeri tetap memberi sokongan dari segi latihan,” katanya.
Hishamuddin berkata demikian ketika ditemui dalam sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini, semalam.
Kelmarin, Menteri KBS, Hannah Yeoh dilaporkan mahu mengadakan pertemuan dengan PGNT minggu ini bagi membantu atlet yang berdepan sekatan bertanding mewakili negeri itu ekoran isu etika pemakaian.
Antara langkah diambil atlet adalah terpaksa menceburi sukan lain seperti wushu malah ada yang membuat keputusan bertukar sekolah ke Pahang untuk terus kekal dalam sukan gimnastik.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, jika atlet bukan Muslim tidak berminat dengan sukan gimnastik, kerajaan negeri tidak akan memaksa atlet Muslim pula menyertainya. – UTUSAN