KUCHING: Kemampanan dan pembangunan ekonomi hijau Sarawak antara pengiktirafan oleh kerajaan Persekutuan kepada ekonomi kerajaan Sarawak, sekaligus menjadikan negeri itu mendahului negeri-negeri yang lain.
Justeru, satu Mesyuarat Perdana Menteri melibatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Pejabat Perdana Menteri telah memberi peluang kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memberi taklimat kepada persidangan mengenai pembangunan Sarawak sejak 60 tahun lalu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membincangkan usaha Sarawak maju ke hadapan seperti yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), status pendapatan tinggi negeri Sarawak dan inisiatif pembangunan, serta tenaga boleh diperbaharui.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat selama dua setengah jam yang bermula jam 2 petang hari ini tadi turut memberi taklimat kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri mengenai ekonomi Sarawak yang telah diiktiraf oleh kerajaan persekutuan sebagai mendahului negeri-negeri lain dari segi kemampanan dan pembangunan ekonomi hijau.
Sebelum ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari turut memberi taklimat serupa kepada kabinet persekutuan ketika bersidang di Kuching sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini yang dianjurkan oleh Sarawak. –UTUSAN










