SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan terus menggiatkan promosi dan mengambil langkah bagi memastikan Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai dekat sini kembali menjadi tumpuan orang ramai sebagai lokasi beli-belah dan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, berdasarkan situasi semasa khususnya selepas penularan pandemik Covid-19, Nilai 3 memang kurang dikunjungi.
“Menjadi hasrat kita menjadikan Nilai 3 sebagai lokasi wajib dilawati menerusi pakej-pakej pelancongan yang akan disediakan menerusi kerjasama agensi pelancongan.
“Kami akan menggiatkan promosi pelancongan ke Nilai 3 bagi memberi nilai tambah ke kawasan tersebut tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai Pusat Perniagaan Nilai 3 yang wujud sejak 2002 yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan seperti langsir, permaidani dan perhiasan rumah namun semakin kurang menerima kehadiran pengunjung.
Namun bilangan kedai dilihat bertambah dan tinjauan mendapati golongan peniaga warga asing mendominasi kawasan itu yang pernah dicatatkan di dalam ‘Malaysia Books of Records’ sebagai pusat borong terbesar di negara ini.
Mengenai isu lambakan peniaga asing, Nicole memaklumkan perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai untuk tindakan lanjut. – UTUSAN