PETALING JAYA: Pas menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau dikatakan ‘diancam’ ekoran kritikannya terhadap kerajaan Israel dalam isu perang di Gaza sebagai pelik, malah melucukan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Anwar sebelum ini memberitahu ancaman tersebut diterimanya dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen negara-negara Eropah.
Malangnya, beliau berkata, Perdana Menteri enggan menjelaskan dakwaan itu apabila didesak oleh media, sebaliknya memaklumkan kerajaan akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.
Jelas Takiyuddin, pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baharu.
“Perdana Menteri terdahulu, baik Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diketahui sangat lantang dalam isu ini, namun, tiada pula mereka dilaporkan ‘diancam’ berkait ketegasan dan kelantangan itu.
“Malah, Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas di bawah kepemimpinan sebelum ini. Jadi, kenapa pula Perdana Menteri Anwar tiba-tiba ‘diancam’ dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen?
“Sekiranya ‘ancaman’ yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, bukankah sebagai ketua kerajaan, langkah wajar yang perlu diambil oleh Perdana Menteri ialah dengan memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia terhadapnya, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan mengenainya.
Menurut Takiyuddin, Pas percaya kenyataan ‘alarmist’ sebegitu yang bertujuan untuk menonjolkan ‘kehebatan’ dan ‘kepentingan’ Perdana Menteri sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya yang sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan dan kepercayaan awam.
“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan ‘kehebatan’ seseorang pemimpin.
“Selain itu ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Perdana Menteri membuat ‘dakwaan rambang dan khayalan’ sedemikian,” katanya. -UTUSAN