Kenyataan Abu Bakar boleh jejas hubungan Bersatu - Pas

Kenyataan Abu Bakar boleh jejas hubungan Bersatu – Pas

ABDUL LATIF HASSAN (kiri) dan ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenyataan dikeluarkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah berhubung perpecahan yang berlaku di dalam Pas adalah bersifat peribadi.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu negeri, Abdul Latif Abu Hassan berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu dapat memberi impak kepada PN sekali gus boleh menjejaskan hubungan antara parti itu dengan Pas.

Beliau berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan bersama pimpinan atau sayap parti itu di peringkat negeri berhubung kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenyataan dikeluarkan itu memang tak ada perbincangan jadi bagi kami di peringkat Armada anggap ia bukan satu kenyataan daripada parti,” katanya.
Abu Bakar sebelum ini mendedahkan wujud perpecahan di dalam Pas Perlis membabitkan isu kefahaman agama, susun gerak kerja dan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Menteri Besar merangkap Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli menafikan perkara itu namun turut mengakui ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN di Perlis terus-menerus mengkritik pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Dalam pada itu Abdul Latif berkata, Armada berpandangan isu tersebut seharusnya diselesaikan secara dalaman dan tidak perlu dihebahkan kepada pihak umum.

“Permasalahan yang berlaku di dalam rumah adalah lebih baik diselesaikan dalam rumah sahaja dan jangan di bawa keluar.

“Malah isu yang berlaku ini juga dibimbangi akan menjejaskan hubungan antara Pas dan Bersatu di Perlis jadi kami berharap agar ia tidak berpanjangan,” katanya.

Dalam pada itu Abu Bakar Hamzah berkata beliau tidak kisah digelar apa sekali pun susulan tegurannya berhubung perpecahan yang berlaku dalam Pas negeri.

Menurut Abu Bakar, semua perkara yang dinyatakan olehnya sebelum ini adalah merupakan satu bentuk teguran demi memperkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

“Saya hanya menegur secara ikhlas malah tiada sebarang ungkapan maki hamun mengenai permasalahan yang dihadapi ini.

“Semua parti ada masalah namun teguran yang ditujukan kepada Pas Perlis itu adalah susulan daripada muktamar parti itu baru-baru ini apabila Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut tentang isu ‘tebuk kapal’ yang berlaku.

“Jadi saya tak kisah orang nak gelar saya apa pun namun apa yang ditegur itu adalah demi kebaikan Pas semata-mata,” katanya di sini semalam-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×